Affiliations 

  • 1 Universiti Putra Malaysia
Trop Life Sci Res, 2018;29(1):139-154.
MyJurnal

Abstract

Tarsius bancanus borneanus (kera hantu) pertama kali dicam oleh Elliot pada
tahun 1990 merupakan spesies endemik yang boleh ditemui di kepulauan Borneo yang
terdiri dari Sabah dan Sarawak (Malaysia), Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Sub-spesies ini telah disenaraikan sebagai haiwan yang terlindung sepenuhnya di bawah
Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak (1998) dan disenaraikan sebagai spesies
yang terdedah kepada kepupusan oleh IUCN. Kajian ini telah dijalankan di Universiti Putra
Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), dari Oktober 2014 hingga Mac 2015. Menerusi
persampelan tangkap-lepas yang meliputi kawasan seluas 37 ha hutan sekunder dan 7.13
ha hutan yang dipulihara, sebanyak 16 ekor kera hantu telah ditangkap menggunakan jaring
kabut manakala seekor kera hantu telah berjaya ditangkap semula. Kepadatan populasi
kera hantu yang ditangkap menggunakan jaring kabut di dalam hutan sekunder adalah
38 individu/km² manakala 28 individu/km² dicatatkan bagi hutan yang dipulihara. Dengan
menggunakan kaedah penangkapan per satu unit usaha (net-jam), masa purata bagi
seekor kera hantu ditangkap di dalam hutan sekunder adalah 26.6 jam/haiwan dan 30 jam/
haiwan di dalam hutan yang dipulihara. Keputusan membuktikan data mengenai kehadiran
kera hantu di dalam kedua-dua hutan sekunder dan hutan yang dipulihara terutamanya di
kampus UPMKB sekaligus menonjolkan nilai pemuliharaan kawasan hutan tersebut.