Tujuan utama kajian ini adalah untuk menghasilkan bukti kesahan dan kebolehpercayaan metrik pengukuran kebergunaan perisian kursus matematik secara psikometrik dan seterusnya membentuk rumus skor kebergunaan. Kertas ini membincangkan pembentukan rumus kebergunaan. Berdasarkan pandangan secara teori, satu model hipotesis kebergunaan dengan tiga faktor iaitu kebolehgunaan, kefungsian dan kecekapan dan 85 metrik dicadangkan. Melalui pengesahan pakar dan ujian kebolehpercayaan metrik kebergunaan dikurangkan kepada 64. Instrumen dengan 64 metrik ditadbir ke atas 620 guru matematik di lima zon di Malaysia. Mereka diminta melayari perisian kursus matematik (PKM) sambil melengkapkan instrumen. Analisis faktor penjelajahan dilakukan untuk mengesahkan konstruk kebergunaan manakala analisis faktor pengesahan dijalankan untuk membentuk model berstruktur dengan memadankan 34 metrik dengan model hipotesis. Ujian-t dan ujian ANOVA mendapati tiga pembolehubah iaitu, bidang pengkhususan guru, pengalaman menggunakan komputer dan ralat penilaian menyumbang kepada skor kebergunaan. Dapatan ini digunakan untuk membentuk rumus kebergunaan PKM.