Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kesatuan Ekonomi ASEAN (AEC) merupakan realisasi matlamat akhir integrasi ekonomi yang diasaskan pada pemusatan keinginan negaranegara ASEAN untuk meluaskan intergrasi ekonomi melalui inisiatif baru dan sedia ada dalam kerangka masa yang telah ditetapkan. Dalam merealisasikan salah satu tindakan AEC yang telah dikenal pasti iaitu memperkasakan perlindungan pengguna ASEAN, pengharmonian undang-undang kontrak pengguna dilihat sebagai salah satu agenda penting ASEAN. Dengan berobjektifkan pengharmonian undang-undang kontrak ASEAN yang mengkhusus kepada penggunaan terma tidak adil dalam pasaran pengguna seterusnya mencadangkan ASEAN Model Law on Unfair Terms in Consumer Contracts, makalah ini mengadoptasi metodologi analisis kandungan berteraskan literatur undang-undang primer dan sekunder. Mengguna pakai undang-undang kes dan perundangan di enam negara ASEAN terpilih iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei, penyelidikan ini mendapati wujud persamaan dalam mekanisme yang digunakan di negara-negara ASEAN ini dalam menangani permasalahan penggunaan terma tidak adil dalam kontrak pengguna. Namun walaupun perundangan dilihat sebagai mekanisme yang mampu menangani permasalahan ini, wujud perbezaan pendekatan dalam perundangan yang diadaptasi oleh negara-negara ASEAN tersebut. Penggunaan perundangan berorientasikan perlindungan pengguna bagi mengawal penggunaan terma tidak adil dalam kontrak pengguna jelas kelihatan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina. Penggunaan perundangan kontrak yang mengkhusus kepada terma tidak adil sebagai instrumen kawalan pula kelihatan di Singapura, Thailand dan Brunei. Dalam aspek ini, keunikan Singapura dan Thailand yang menangani permasalahan terma tidak adil dalam kontrak pengguna dengan mengadakan perlindungan melalui dua jenis perundangan yang berbeza menampakkan korpus perlindungan pengguna yang lebih mapan. Pendekatan yang berbeza yang diamalkan di beberapa negara ASEAN terpilih ini memperlihatkan satu korpus perlindungan pengguna yang unik dalam aspek kontrak pengguna tidak adil.