Sains Malaysiana, 2016;45:1823-1834.

Abstract

Intervensi pemakanan berpotensi untuk melambatkan penurunan fungsi kognitif dalam kalangan warga tua yang mengalami kecelaan kognitif ringan (MCI). Walau bagaimanapun, kemampanan program sedemikian masih belum dapat dipastikan. Oleh itu, suatu kajian susulan dijalankan bagi menentukan kemampanan suplementasi minyak ikan dan pendidikan kesihatan bagi mengurangkan kemerosotan fungsi kognitif dalam kalangan warga tua yang mengalami MCI selepas setahun kajian intervensi dijalankan. Kajian ini melibatkan 18 orang subjek MCI iaitu 6 orang bagi setiap kumpulan intervensi suplementasi minyak ikan (A) dan pendidikan kesihatan (B) dan kumpulan kawalan (C). Analisis menunjukkan kesan intervensi yang signifikan bagi ujian Span Digit (p<0.05) dan aras serum folat (p<0.05) dengan kumpulan B menunjukkan min yang paling tinggi, diikuti dengan A dan C. Intervensi pendidikan kesihatan dan suplementasi minyak ikan mempunyai kesan kemampanan bagi meningkatkan aras serum folat dan memperbaiki status fungsi kognitif yang dinilai menggunakan Ujian Span Digit. Terdapat keperluan bagi promosi kesihatan dan suplementasi minyak ikan dalam mengekalkan fungsi kognitif individu warga tua yang mengalami MCI