Sains Malaysiana, 2017;46:1625-1633.

Abstract

Prevalens gangguan kognitif ringan (MCI) di Malaysia mencecah 68% pada tahun 2016. Pelbagai kaedah dijalankan bagi memastikan kelestarian tahap kesihatan warga tua termasuk melalui nutrisi, gaya hidup dan persekitaran. Pengehadan kalori dibuktikan mampu untuk menurunkan kadar mortaliti dan morbiditi warga tua serta memelihara tahap kesihatan warga tua supaya dapat membantu dalam meningkatkan kualiti hidup golongan tersebut. Pengehadan kalori juga merupakan salah satu kaedah yang lebih mudah dan berkesan dalam membantu meningkatkan ingatan dan memelihara kesihatan golongan tersebut. Ia juga membantu mengurangkan kadar inflamasi dan mencantas tindakan radikal bebas yang hadir di dalam sistem tubuh akibat daripada proses penuaan dan faktor persekitaran. Keadaan ini menyediakan tubuh badan yang lebih rentan terhadap kerosakan DNA dan serangan toksin daripada penyakit kronik, pemakanan dan persekitaran. Oleh itu, kajian ini memberikan konsep yang lebih jelas terhadap implikasi pengehadan kalori dalam memelihara fungsi kognitif.