Kandungan logam berat Fe, Cu dan Mn dalam tanih serta tumbuhan Nepenthes sp yang diambil daripada kawasan bekas lombong bijih timah dan besi di Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor telah dikaji. Kandungan logam berat telah ditentukan di dalam empat bahagian tumbuhan Nepenthes sp. iaitu di dalam akar, batang, daun dan periuk. Sebanyak 15 sampel tumbuhan Nepenthes sp dan tanih dikumpul untuk dianalisis. Komposisi logam-logam berat dalam sampel tanih diekstrak dengan menggunakan campuran asid nitrik dan asid perklorik. Kandungan logam berat dalam tumbuhan pula diekstrak melalui kaedah penghadaman basah. Kandungan logam berat di dalam larutan ekstrak tanih dan tumbuhan ditentukan dengan menggunakan alat Spektrofotometer Serapan Atom Kaedah Nyalaan (FAAS). Nilai Koefisien Penyerapan Biologi (BAC) dikira sebagai nisbah kandungan logam berat dalam tumbuhan kepada kandungan logam berat dalam tanih. Analisis tanih menunjukkan kawasan bekas lombong didominasi oleh pasir dan bersifat asid. Ia juga mempunyai kandungan bahan organik dan nilai kekonduksian elektrik yang rendah. Logam Fe mencatatkan kepekatan purata paling tinggi di dalam tanih diikuti oleh Mn dan Cu. Tumbuhan Nepenthes sp boleh dijadikan sebagai pengumpul biologi untuk logam Fe kerana nilai BACnya adalah tinggi.
Kapsaisinoid merupakan alkaloid yang memberikan ciri kepedasan pada cili serta khusus pada genus Capsicum. Sebatian kapsaisinoid terdiri daripada dua komponen utama iaitu kapsaisin dan dihidrokapsaisin. Dalam kajian ini, pengklonan cDNA Kapsaisin sintase (Cs) telah berjaya dilakukan menerusi kaedah transkripsi berbalik PCR (RT-PCR) dan klon cDNA tersebut dinamakan CUKMCS yang bersaiz 981 pb. Pencarian homologi menggunakan program blastx dan blastp yang terdapat pada pangkalan data NCBI mendapati CUKMCS mempunyai persamaan yang sangat tinggi terhadap Cs pada Capsicum frutescens, Capsicum annuum dan Capsicum chacoense. Saiz ramalan protein CUKMCS diangggarkan sekitar 36 kDa. Penentuan pengekspresan transkrip Cs pada 5 tisu yang berbeza mendapati transkrip dikesan pada tisu plasenta, mesokarp dan biji manakala tiada transkrip Cs dikesan pada daun dan akar
Kejadian kebakaran hutan yang memberikan implikasi negatif terhadap ekosistem hutan, kepelbagaian biologi, kualiti udara dan struktur tanah dapat dikurangkan melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan. Mekanisme pengurusan bencana dapat dibangunkan melalui sistem amaran awal yang tepat serta sistem penyampaian maklumat yang cekap. Penyelidikan ini cuba memberi tumpuan kepada pemetaan potensi kebakaran hutan serta penyampaian maklumat kepada
pengguna melalui aplikasi WebGIS. Teknologi georuang dan permodelan matematik digunakan bagi mengenal pasti, mengelas serta memetakan kawasan hutan yang berpotensi untuk terbakar. Permodelan model proses analitik hierarki (AHP) serta teknologi georuang yang merangkumi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan pengumpulan data lapangan secara digital telah digunakan untuk negeri Selangor. AHP adalah suatu teknik yang dapat memodel sesuatu
keputusan yang meliputi objektif menyeluruh, dalam kajian ini untuk mencari kawasan yang berpotensi berlakunya kebakaran hutan. Tiga kriteria iaitu bahan bakar, bentuk topografi dan faktor manusia telah dipilih untuk membina satu reka bentuk hierarki berstruktur yang setiapnya diberikan pemberat. Kemudian hierarki ini dianalisis melalui satu siri perbandingan berpasangan yang diproses secara matematik dan keutamaan diberikan kepada kedudukan yang tinggi untuk mencapai hasil sumbangan pakar yang terlibat secara langsung dengan operasi pemadaman kebakaran hutan
yang terdiri daripada pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga dinilai dalam model ini. Hasil kajian mendapati 65% daripada keseluruhan Selangor berpotensi rendah untuk terbakar sementara kawasan seluas 32.83 km persegi iaitu di Bestari Jaya, Ulu Tinggi dan Kuala Langat berpotensi melampau terbakar. Paparan maklumat melalui aplikasi WebGIS ini merupakan satu pendekatan terbaik bagi membantu proses membuat keputusan pada tahap keyakinan yang tinggi dan hampir menyamai keadaan sebenar. Agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana
seperti Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana (JPBB) Daerah, Negeri dan Pusat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dapat menggunakan hasil akhir kajian ini sebagai persediaan menghadapi ancaman kebakaran hutan pada masa akan datang.
Kajian pemegunan enzim peroksidase dalam membran hibrid sol-gel-kitosan untuk penyediaan transduser optik hidrogen peroksida telah dilakukan dalam pembinaan biosensor. Kajian ini merangkumi pengoptimuman nisbah sol-gel-kitosan, pencirian enzim dalam larutan bebas dan pemegunan enzim dalam hibrid sol-gel-kitosan serta penciriannya. Spektrum serapan bagi setiap pencirian ditentukan menggunakan Spektrofotometer uL-Nampak. Hasil kajian menunjukkan aktiviti enzim tidak berubah selepas pemegunan. Nisbah optimum hibrid sol-gel-kitosan adalah 4:6. Nilai sisihan piawai relatif (RSD) untuk kebolehulangan kaedah ini adalah 2.71% dan 3.76%, masing-masingnya untuk enzim bebas dan enzim terpegun.
Kesan penggunaan kitosan terhadap nanozarah kuprum (Cu) yang disintesis menggunakan sinaran gama sebagai sumber agen penurunan telah dijalankan dalam sistem akues. Dos sinaran terserap yang digunakan adalah 50 kGy manakala penambahan isopropanol adalah penting sebagai penggarut kepada radikal pengoksidaan serta meningkatkan peranan agen penurun yang terhasil daripada proses radiolisis. Analisis serapan optik-uv telah mencirikan sifat optik larutan nanozarah Cu yang disintesis. Ketulenan fasa kristal nanozarah Cu yang terbentuk dalam matrix kitosan telah dibuktikan dengan pembelauan sinar-X (xRD). Berdasarkan imej mikroskop imbasan elektron (TEM), nanozarah Cu yang terhasil adalah berbentuk sfera dengan julat saiz 6-10 nm kecuali nanozarah Cu yang disintesis dalam kepekatan kitosan 03% wlv yang menunjukkan taburan bentuk yang tidak sekata. Analisis spektrofotometer transformasi Fourier inframerah (FHR) yang dijalankan telah mengesahkan kehadiran sebatian kitosan dalam sampel nanozarah Cu dengan kepekatan kitosan 0.1 dan 0.3% wlv. Kajian ini mendapati penggunaan kitosan dapat melindungi nanozarah Cu daripada pengoksidaan oleh persekitaran. Saiz nanozarah juga didapati meningkat seiring dengan peningkatan kepekatan kitosan yang digunakan.
Kajian ini bertujuan mendapatkan gabungan statistik untuk pemodelan hujan kelompok berstokastik Denyut Segi Empat Neyman-Scott (NSRP) yang mampu memberikan pemadanan terbaik bagi hujan di stesen hujan Semenanjung Malaysia. Enam set gabungan statistik, yang setiap setnya mengandungi gabungan statistik momen (1, 2 dan 3) dan kebarangkalian hujan dalam selang masa yang singkat (jam) dan panjang (harian), serta empat taburan yang berbeza bagi kelebatan sel hujan (Eksponen, Campuran Eksponen, Gamma dan Weibull) telah dikaji. Penyelidikan telah dilakukan ke atas sembilan stesen hujan yang mewakili rantau yang berbeza di Semenanjung Malaysia. Hasil mendapati bahawa statistik momen ke-3 (kepencongan) tidak memberikan sumbangan yang baik dalam menjayakan model. Selang masa 1, 6 dan 24 jam didapati yang terbaik bagi statistik momen kedua (variasi) bagi menjayakan model. Kajian ini juga mendapati bahawa taburan eksponen adalah yang terbaik bagi pemodelan hujan NSRP di Semenanjung Malaysia.
Acanthaceae merupakan famili tumbuhan angiosperma di bawah order Lamiales yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 4000 spesies sama ada spesies tropika atau subtropika. Spesies daripada famili ini ditemui di pelbagai habitat dan mempunyai pelbagai morfologi serta corak taburan geografi. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai ciri anatomi bagi Acanthaceae masih dangkal sehingga ke hari ini. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti jenis trikom yang hadir pada permukaan epidermis adaksial dan abaksial sepal dan juga petal bunga bagi beberapa spesies terpilih daripada Acanthaceae di Semenanjung Malaysia. Kajian ini melibatkan pengumpulan sampel di lapangan, penyediaan spesimen baucer, teknik kajian epidermis petal, cerapan di bawah mikroskop cahaya dan juga cerapan di bawah mikroskop imbasan elektron. Tiga puluh jenis trikom dicerap dalam kajian ini dan daripada jumlah tersebut, 23 jenis trikom dicerap hadir pada permukaan epidermis petal manakala 17 jenis trikom dicerap hadir pada permukaan epidermis sepal. Jenis trikom yang direkodkan ialah trikom ringkas unisel dan ringkas multisel, trikom kelenjar kapitat dan kelenjar peltat serta juga trikom berlengan. Keputusan kajian ini menunjukkan kehadiran dan jenis trikom pada permukaan sepal dan petal mempunyai nilai taksonomi yang berguna untuk tujuan pembezaan dan pengecaman spesies. Maklumat ciri morfologi trikom yang diperoleh daripada kajian ini merupakan maklumat baharu ciri anatomi bunga bagi Acanthaceae.
Islam merupakan satu agama yang menitikberatkan kesihatan manusia termasuklah sistem pencernaan manusia. Najis
(tinja) manusia yang dibincangkan dalam kajian ini merupakan hasil buangan manusia yang menjadi salah satu kaedah
untuk melihat sudut kesihatan manusia. Objektif penyelidikan ini ialah untuk mengkaji fizikokimia dan ciri-ciri najis
serta kegunaannya daripada perspektif sains dan sudut pandangan Islam terutamanya mengenai diet yang diamalkan
oleh Rasulullah SAW. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan ulasan literatur secara deskriptif. Kajian mendapati
bahawa sistem pencernaan merupakan satu sistem yang rumit. Tinja terdiri daripada 75% air dan 25% bahan pepejal
serta ciri-ciri tinja seperti bentuk, warna dan bau memberi kesan kepada kesihatan manusia. Daripada sudut Islam
warna, bau dan rasa tinja merupakan perkara asas yang dititikberatkan semasa proses pembersihan najis terutamanya
bagi memulakan sesuatu ibadah. Selain itu, diet, senaman, umur dan jantina merupakan faktor-faktor yang membezakan
jenis tinja bagi setiap individu. Malah, kajian ini juga merungkai beberapa alternatif yang kini diguna pakai bagi
mengurus najis-najis manusia dalam menjamin kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar. Kajian ini kemudiannya
mengupas diet makanan-makanan sunnah yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadis yang terbukti kaya dengan serat
dan sihat untuk manusia terutamanya bagi sistem pencernaan manusia. Oleh itu, najis (tinja) manusia daripada sudut
sains mampu menggambarkan kesihatan seseorang dan amalan diet makanan-makanan sunnah sangat baik dalam
memelihara sistem pencernaan manusia.
Suatu kajian untuk menilai kesan gabungan aktiviti guna tanah dan perubahan musim terhadap kualiti sumber air telah dijalankan di Terusan Utara, Kedah. Kajian ini dijalankan di lima stesen terpilih selama 12 bulan berdasarkan Indeks Kualiti Air (WQI) dan Piawaian Interim Kualiti Air Kebangsaan (INWQS). Kajian mendapati kualiti air di Terusan Utara berada pada Kelas III dan berlaku peningkatan kualiti air dari hulu ke hilir. Hampir semua stesen berpotensi sebagai punca pencemaran berdasarkan aktiviti guna tanah terutamanya di Pelubang, Jitra serta Tunjang. Kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan ketika perubahan musim pada DO, TSS serta BOD, namun tidak pada ammonia, pH dan COD. Secara amnya, kombinasi aktiviti guna tanah dan perubahan musim boleh mempengaruhi atau memberi kesan terhadap kualiti sumber air. Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan untuk mengawal punca pencemaran bagi memastikan kualiti sumber air di Terusan Utara kekal terpelihara.
Batuan Formasi Singa yang terdiri daripada batu lumpur dominan, berselang lapis dengan batu lodak, batu pasir dan
juga sedikit unit konglomerat tertabur secara meluas di kepulauan Langkawi. Formasi Singa boleh dibahagikan kepada
sepuluh fasies sedimen dan empat sekutuan fasies. Keputusan kajian menunjukkan Formasi Singa telah terendap di
lautan cetek, iaitu di sub-sekitaran luar pesisir, transisi, muka pesisir serta dalam alur. Lautan cetek Lembangan Singa
dipengaruhi oleh iklim sejuk kerana terdapat sedimen asalan glasier, iaitu fasies batu lumpur berpebel. Kertas kerja ini
akan menjelas dan membincangkan segala aspek sedimentologi formasi batuan ini.
Formasi Singa yang tersingkap di Kepulauan Langkawi terdiri daripada jujukan batuan sedimen argilit dan boleh dibahagikan kepada empat ahli iaitu Rebak, Kentut, Ular dan Selang. Formasi Singa kaya dengan fosil terutamanya daripada jenis brakiopod, bryozoa dan bivalvia yang boleh ditemui dalam Ahli Rebak dan Ahli Selang. Fosil yang ditemui semasa kajian dijalankan serta fosil yang pernah dilaporkan oleh penyelidik terdahulu telah dibuat penelitian semula untuk menentukan usia Formasi Singa dengan lebih tepat. Himpunan fosil Formasi Singa boleh dibahagikan kepada tiga julat usia, iaitu Visean, Asselian Akhir - Sakmarian Awal dan Sakmarian Akhir. Jujukan berusia Visean diwakili oleh Ahli Rebak, manakala jujukan Asselian Akhir - Sakmarian Awal dan jujukan Sakmarian Akhir diwakili oleh Ahli Selang. Dalam Ahli Ular dan Ahli Kentut tidak ditemui sebarang fosil. Keputusan daripada kertas ini memerlukan satu kajian semula dijalankan terhadap litostratigrafi Formasi Singa.
Makanan dan minuman yang halal dan baik merupakan tuntutan dalam Islam. Pada zaman serba moden ini, timbul
kebimbangan terhadap status halal plasma darah yang digunakan secara meluas terutamanya dalam industri makanan.
Objektif penyelidikan ini ialah untuk mengkaji kegunaan, kebaikan dan keburukan plasma darah serta pandangan ulama
mengenai isu ini. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan ulasan kepustakaan secara deskriptif. Kajian mendapati
bahawa plasma darah mempunyai kemampuan melarut dan pengemulsi yang tinggi, kelikatan yang rendah serta
kemampuan untuk membentuk gel yang kuat. Selain itu, plasma darah boleh menambah baik tekstur dan menjadi pengikat
dalam penghasilan produk makanan moden. Ia juga merupakan alternatif protein yang murah bagi pengganti lemak dalam
penghasilan produk daging rendah lemak. Walau bagaimanapun, kajian mendapati plasma darah mengandungi pelbagai
mikroorganisma dan hasilan metabolisme yang berkemungkinan merbahaya akibat daripada toksin dan protein darah.
Kini, terdapat pelbagai kaedah pengesanan yang boleh dijalankan untuk mengesan plasma darah dalam makanan bagi
menentukan status halal. Terdapat dua pandangan berkenaan hukum penggunaan plasma darah, pandangan pertama
bersependapat, penggunaan plasma darah dalam produk makanan adalah harus jika telah berlaku proses istihalah
yang sempurna. Manakala pandangan kedua, mengharamkan plasma darah kerana ia adalah proses tidak sempurna
(istihalah fasidah). Oleh itu, penentuan hukum terhadap istihalah dalam penghasilan plasma darah mestilah menepati
kehendak syariat Islam di samping memastikan hukum berkaitan isu ini tidak ketinggalan zaman.
The present study was aimed at evaluating antihyperglycemic and antihyperlipidemic activity of nuciferin and
norcoclaurine constituents of N. nucifera seeds, a well-known medicinal plant. The alloxan (100 mg/kg b.w) induced
diabetic rats (200-250 g) were divided into seven groups (n = 6). Group I; normal control, Group II; diabetic control,
Group III; standard, Group lV-VII were fed with methanolic crude extracts (100, 200 mg/kg), nuciferin and norcoclaurine
(10 mg/kg b.w.), received for 15 days in dose dependent manner. The study included different parameters; examination of
oral glucose, fasting blood glucose, serum lipid profile and checking for body weight changes. In oral glucose examination,
within 60 and 80 min of treatment, extracts, nuciferin and norcoclaurine significantly reduced blood glucose (p<0.05)
and restored body weight in diabetic rats. Alloxan- induced diabetic rats showed 30-50% reduction of blood glucose
level (p<0.05) and recovered 5-20% body weight at day 15 after ingestion of crude extracts (100-200 mg/kg b.w.); and
nuciferin and norcoclaurine (each at 10 mg/kg b.w.). It also recovered significantly elevated biochemical parameters such
as triglycerides (TG), low density lipoprotein (LDL), high density lipoprotein (HDL), total cholesterol (TC), serum urea and
creatinine. Our findings indicated that N. nucifera seeds possess significant antihyperglycemic and antihyperlipidemic
activity in diabetic rats.
Prevalens gangguan kognitif ringan (MCI) di Malaysia mencecah 68% pada tahun 2016. Pelbagai kaedah dijalankan bagi memastikan kelestarian tahap kesihatan warga tua termasuk melalui nutrisi, gaya hidup dan persekitaran. Pengehadan kalori dibuktikan mampu untuk menurunkan kadar mortaliti dan morbiditi warga tua serta memelihara tahap kesihatan warga tua supaya dapat membantu dalam meningkatkan kualiti hidup golongan tersebut. Pengehadan kalori juga merupakan salah satu kaedah yang lebih mudah dan berkesan dalam membantu meningkatkan ingatan dan memelihara kesihatan golongan tersebut. Ia juga membantu mengurangkan kadar inflamasi dan mencantas tindakan radikal bebas yang hadir di dalam sistem tubuh akibat daripada proses penuaan dan faktor persekitaran. Keadaan ini menyediakan tubuh badan yang lebih rentan terhadap kerosakan DNA dan serangan toksin daripada penyakit kronik, pemakanan dan persekitaran. Oleh itu, kajian ini memberikan konsep yang lebih jelas terhadap implikasi pengehadan kalori dalam memelihara fungsi kognitif.
Jujukan batuan sedimen Kapur Awal Kumpulan Gagau di kawasan sekitar hulu Sungai Chichir dibentuk oleh batu pasir
berpebel masif, batu lumpur masif dan lapisan tebal batu pasir dengan pelbagai struktur sedimen serta fosil. Jujukan ini
boleh dibahagikan kepada tujuh fasies dengan mekanisme pengenapan berbeza. Berdasarkan asosiasi antara pelbagai
fasies sedimen dapat ditafsirkan bahawa jujukan ini telah terenap dalam pelbagai sekitaran dataran aluvium termasuk
alur sungai utama, sungai berliku, sungai berburai dan dataran banjir. Fosil yang ditemui memberikan usia Kapur
Awal kepada jujukan ini. Bukti kehadiran tanah atas di kawasan ini mencerahkan harapan untuk penemuan pelbagai
fosil hidupan daratan, khususnya fauna vertebrat serta dinosaur yang lebih baik dan lengkap.
Kajian anatomi rizom dan stip telah dijalankan ke atas empat spesies Pleocnemia yang terdapat di Semenanjung Malaysia
iaitu P. irregularis, P. conjugata, P. hemiteliiformis dan P. olivacea untuk mengkaji variasi ciri yang terdapat pada rizom
dan stip ini. Kajian ini melibatkan keratan rentas stip dan rizom dengan menggunakan mikrotom gelongsor. Ciri anatomi
stip seperti bentuk luaran, corak kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis, jenis dan bentuk stel dan ciri anatomi
rizom seperti kehadiran sel rembes tanin dan kehadiran serta jenis trikom pada sesetengah spesies boleh digunakan untuk
pengecaman spesies. Ciri sepunya bagi spesies Pleocnemia yang dikaji ialah kehadiran sel sklerenkima mengelilingi stel
dan di bawah lapisan sel epidermis, stel jenis kompleks serta stel bagi kesemua spesies kajian berbentuk protostel primitif
(bulat). Antara ciri diagnosis yang ditemui dalam kajian ini ialah bentuk luaran stip, bilangan lapisan skelerenkima
di bawah epidermis, kehadiran sel rembes tanin bagi spesies P. irregularis dan P. hemiteliiformis serta kehadiran jenis
trikom yang berbeza dalam keempat-empat spesies. Ciri diagnosis ini adalah ciri yang baik untuk pengecaman spesies
kajian. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa ciri anatomi stip dan rizom mempunyai nilai taksonomi dalam genus
Pleocnemia dan boleh digunakan sebagai data sokongan untuk pengecaman dan pembezaan spesies.
Jerebu merupakan fenomena pencemaran udara yang memberi impak negatif kepada kesihatan dan kegiatan sosial masyarakat serta negara. Isu jerebu dibincangkan dalam al-Quran iaitu sura al-Dukhan secara menyeluruh. Kertas ini bertujuan menganalisis perbahasan berkaitan masalah jerebu yang disebutkan oleh al-Quran dan tafsiran para sarjana Islam dalam konteks dan sudut pandang Islam. Kertas ini turut membincangkan punca dan kesan berlakunya masalah jerebu daripada perspektif sains. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu dengan merujuk kepada kaedah transdisiplin daripada perspektif Quran dan sains. Keputusan kajian mendapati terdapat tafsiran para sarjana Islam yang mentafsirkan surah al-Dukhan dan fenomena jerebu yang berlaku pada zaman Rasullullah SAW. Ia merupakan azab dan seksaan kepada kaum Musyrikin disebabkan oleh perbuatan mereka yang enggan menerima ajaran Islam. Fenomena jerebu merupakan peringatan Allah dan pengajaran kepada umat manusia supaya sentiasa taat kepada perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping bersama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan alam semesta ini. Manakala para saintis pula mendapati fenomena jerebu yang berlaku adalah berpunca daripada asap dan habuk kesan daripada aktiviti antropogen dan semula jadi serta kesannya terhadap kesihatan tubuh badan manusia yang mengakibatkan hidung berair, masalah kulit, mata terasa pedih dan berair, batuk, sakit kerongkong, kesukaran untuk bernafas dan kesakitan di bahagian dada.
Stres merupakan sebarang gangguan, cabaran atau ancaman kepada seseorang individu yang merangsang perubahan
respon fizikal, mental dan emosi. Hormon stres dan katekolamin dirembeskan di dalam otak sebagai respon terhadap
stres. Kajian ini mengenal pasti kesan tokotrienol tulen dan vitamin E sawit ke atas perubahan hormon stres dan
katekolamin pada tikus yang diaruhkan stres imobilisasi rendaman air. Sebanyak 32 ekor tikus Wistar jantan telah
dibahagikan secara rawak kepada empat kumpulan kajian. Dua kumpulan kawalan; kumpulan tanpa stres (NS) dan
kumpulan tanpa stres (CS) serta dua kumpulan rawatan yang diberikan tokotrienol (TTS) atau vitamin E sawit (TFS)
secara oral paksaan pada dos 60 mg/kg berat badan selama 28 hari. Setelah tamat tempoh rawatan, tikus daripada
kumpulan CS, TTS dan TFS telah didedahkan kepada stres imobilisasi rendaman air selama tiga setengan jam. Kemudian,
otak tikus diambil untuk pengukuran hormon pelepasan kotikotrofin (CRH), hormon adenokortikotropik (ACTH),
norepinefrin, dopamin dan serotonin. Keputusan kajian mendapati peningkatan kandungan CRH, ACTH, norepinefrin
dan dopamine di dalam otak tikus yang diaruh stres berbanding kumpulan kawalan tanpa stres. Kandungan serotonin
pula menurun akibat stres. Walau bagaimanapun, tikus yang diberi suplementasi tokotrienol dan vitamin E sawit
menunjukkan penurunan signifikan kandungan CRH, ACTH, norepinefrin dan dopamin serta peningkatan kandungan
dan serotonin sehingga hampir ke aras normal. Tiada perbezaan antara pemberian tokotrienol dan vitamin E sawit.
Sebagai kesimpulan, tokotrienol dan vitamin E sawit berkesan dalam mengawal perubahan hormon stres serta
katekolamin pada otak tikus yang teraruh stres.
Kajian ini bertujuan untuk mereka bentuk dan mengkaji prestasi pengumpul fotovoltan-terma (PV/T) dengan menggunakan
reka bentuk pengumpul terma aliran air secara pilin. Reka bentuk pengumpul terma aliran air secara pilin telah dibina
semula daripada reka bentuk penyelidik sebelum ini. Pengumpul terma ini menggunakan saiz tiub yang lebih besar dan
jarak antara tiub lebih dekat berbanding dengan reka bentuk penyelidik sebelum ini. Pengumpul PV/T ini telah diuji di
bawah tiga keamatan yang berbeza iaitu 300, 500 dan 700 W/m2 serta diuji pada kadar aliran jisim air yang berbeza
iaitu 0.01, 0.02 dan 0.04 kg/s. Pada keadaan yang sama, kecekapan fotovoltan, terma dan tergabung juga menunjukkan
nilai yang paling tinggi, iaitu 4.18%, 76.68% dan 80.86%. Kecekapan terma yang dihasilkan pada kajian ini lebih tinggi
dibandingkan dengan kajian sebelumnya.
Pembiakbakaan padi tahan kemarau menjadi agenda utama ahli pembiak baka namun ia amatlah penting bagi memastikan
kultivar padi baru tahan kemarau yang bakal dihasilkan mampu memenuhi cita rasa pengguna daripada segi ciri
fisio-kimia serta kualiti beras dan nasi. Dalam kajian ini, sebanyak sepuluh genotip padi yang terdiri daripada lapan
titisan piramid padi tahan kemarau (PLs) dan dua induk, MR219 dan MRQ74 dinilai bagi ciri fisio-kimia dan kualitinya.
Kesemua genotip mempunyai kandungan amilosa (AC) yang sederhana iaitu dalam julat 20% hingga 25% kecuali PLMR219-G1 (AC rendah - 16%) dan induk MRQ74 (AC tinggi - 27%). Selain itu, kesemua genotip juga mempunyai suhu
pengelatinan (GT) yang sederhana, konsistensi gel (GC) yang lembut serta mempunyai bentuk beras yang tirus. Tiada
perbezaan yang signifikan diperoleh antara PLs dan induk untuk kesemua atribut dalam analisis hedonik kecuali bagi
ciri aroma dalam populasi MRQ74. Skor PL-MRQ74-G1 bagi ciri aroma dalam ujian sensori berbeza secara signifikan
dengan induk menunjukkan bahawa nasi yang dihasilkan PL ini tidak wangi. Analisis genotip turut mengesahkan gen
yang mengawal ciri aroma, alel badh2 tiada dalam PL-MRQ74-G1 disebabkan rekombinasi semasa silangan. Namun
demikian, alel badh2 hadir dalam PL-MRQ74-G2 yang menyokong hasil ujian hedonik dan PL ini tidak berbeza dengan
MRQ74 bagi atribut aroma. Secara amnya, PLs serupa dengan beras komersial yang merupakan induk mereka bagi ciri
fisio-kimia dan kualiti. PLs yang tahan kemarau ini boleh dikomersialkan kerana memenuhi cita rasa pengguna Malaysia
yang sukakan nasi yang lembut dan tirus selain tempoh memasak yang singkat.