Affiliations 

  • 1 Universiti Malaysia Sarawak
MyJurnal

Abstract

Sejarah awal negara Malaysia yang terdapat dalam pensejarahan Asia Tenggara telah menjadi sumber rujukan di peringkat sekolah dan juga universiti. Periode dari 100EU hingga 1400EU lazimnya mengandungi naratif ringkas mengenai kerajaan tua. Semenanjung Tanah Melayu mewarisi negeri-kerajaan tua Kataha (Kedah), Langkasuka, Panpan, Chihtu dan Baruas yang telah lama terdapat dalam buku sejarah. Bagaimanapun Sarawak kini tidak mewaris apa-apa sedangkan pesisir pantai Borneo di sebelah barat, selatan dan timur terdapat banyak negeri-kerajaan tua seperti Sambas, Mempawah, Pontianak, Landak, Sukadana, Sampit, Banjarmasin, Kutei, Pasri, Bolongan dan Brunei. Terdapat kekosongan dari segi masa dan ruang dalam pensejarahan negeri Sarawak kini. Kajian yang lebih teliti terhadap beberapa sumber primer peribumi di Arkipelago Melayu seperti Silsilah Raja-Raja Brunei dan karya Jawa, Nagarakertagama, telah membongkar beberapa toponim seperti Sarawak, Samarahan, Saribas, Kalaka dan Malanau yang kini merupakan pusat pentadbiran negeri itu. Sumber primer peribumi telah menyatakan bahawa toponim ini adalah negeri yang pernah menjadi jajahan takluk Majapahit selepas itu di bawah Brunei pula. Karangan ini tuba memaparkan naratif ringkas seperti pendekatan yang terdapat dalam pensejarahan Asia Tenggara dan Semenanjung Malaysia. Akhirnya karangan ini mencadangkan negeri kerajaan awal yang diwarisi oleh negeri Sarawak sekarang dinobatkan ke dalam buku sejarah kurikulum sejarah Negara.