Displaying publications 41 - 60 of 82 in total

Abstract:
Sort:
  1. Nur ‘Aishah Zarime, Wan Zuhairi Wan Yaacob
    Sains Malaysiana, 2016;45:1905-1912.
    Penyelidikan ini mengkaji tingkah laku cadmium (Cd) melalui tanah baki granit yang dipadatkan. Sampel tanah baki granit telah diambil di kawasan Broga, Selangor dan dikaji menggunakan tiga kaedah ujian utama iaitu; ujian fizikal (taburan saiz butiran, had-had Atterberg, graviti tentu, pemadatan dan kebolehtelapan), ujian kimia (pH, bahan organik, luas permukaan spesifik (SSA) dan kadar pertukaran kation (CEC) serta ujian mini kolum turasan. Melalui ujian kolum turasan, konsep kebolehtelapan turus menurun digunakan yang melibatkan tiga faktor iaitu halaju/daya-G, ketebalan sampel dan jenis larutan yang digunakan. Graf lengkung bulus menunjukkan kepekatan Cd dalam tanah baki granit semakin meningkat dengan peningkatan halaju. Urutan kapasiti penjerapan semakin meningkat terhadap kadar putaran alat emparan/daya tarikan graviti (G); 230G>520G>920G>1440G. Pergerakan logam berat melalui tanah baki juga meningkat dengan peningkatan halaju/daya-G. Lengkung bulus juga menunjukkan pergerakan Cd secara songsang dengan ketebalan lapisan tanah di dalam kolum. Masa penembusan bagi ketebalan 20 mm juga lebih lama berbanding ketebalan 15 dan 10 mm. Manakala jumlah Cd yang terjerap oleh tanah baki granit dalam larutan campuran adalah rendah berbanding larutan tunggal (masa yang singkat untuk menembusi lengkung bulus). Tanah baki granit juga mempunyai kapasiti penampanan yang rendah (pHfinal = 4 - 7). Kajian ini menunjukkan bahawa pencirian fiziko-kimia dan sifat penjerapan tanah dengan menggunakan ujian mini kolum turasan mempunyai kaitan yang kuat untuk mencirikan tanah baki granit untuk dijadikan pelapik lempung tereka bentuk.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  2. Norhamizan Hashim, Khairul Osman, Siti Fatimah Ibrahim, Rosliah Harun, Rafeah Pakri Mohamed
    Sains Malaysiana, 2016;45:1931-1938.
    Ketidaksuburan idiopati dalam kalangan lelaki telah dikaitkan dengan kesan psikostres. Walaupun begitu, hubungan langsung antara psikostres dan ketaknormalan kualiti semen masih samar. Maka, kajian ini dijalankan untuk menentukan kesan psikostres terhadap kualiti semen terutama kesan berdasarkan residu sitoplasma dan kerosakan DNA sperma. Dalam kajian ini, responden lelaki berumur antara 25-45 tahun dipilih secara rawak dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Kesuburan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Seramai 331 responden akhirnya telah dipilih daripada 628 responden selepas mengambil kira faktor penolakan. Setiap responden perlu menjawab borang keizinan dan soal selidik GHQ-12 bagi penentuan tahap stres sebelum pengambilan sampel semen mengikut piawaian WHO (2010). Tahap stres diukur berdasarkan keadaan semasa responden dalam tempoh 3-4 minggu sebelum kajian. Analisis semen, pewarnaan papanicolau dan asai komet neutral digunakan untuk penentuan kualiti semen dan kerosakan DNA sperma. Keputusan menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara psikostres dan ketaknormalan residu sitoplasma (U=895.50, p=0.08). Namun begitu, psikostres memberi kesan kepada peratus morfologi normal (U=6317.50, p<0.05) dan kerosakan DNA sperma (U=1047.00, p<0.01). Kesimpulannya, psikostres kronik boleh menjejaskan kualiti semen dan kerosakan DNA sperma serta mempengaruhi kesuburan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  3. Ahmad Mahir Razali, Khairiah Jusoh, Nor Asyikin A, Siti Adyani S, Wardatun Aathirah M, Maimon Abdullah, et al.
    Kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan penentuan model yang sesuai serta analisis data penyerapan logam berat oleh sayuran berdaun yang terpilih iaitu kangkung (Ipomea aquatica), sawi bunga (Brassica chinensis var parachinensis), bayam (Amaranthus oleraceus L) dan sawi putih (Brassica chinensis L.). Kajian ini bertujuan untuk menentukan dan membandingkan kandungan serta corak pengambilan logam berat yang diserap oleh sayuran dan juga bahagian-bahagiannya yang meliputi daun, batang dan akar. Penentuan model yang dibuat bertujuan bagi melihat corak penyerapan logam berat oleh sayuran atau bahagian sayuran tertentu. Logam berat yang dikaji terdiri daripada kadmium , kromium, kuprum, ferum , mangan, plumbum dan zink. Plot serakan digunakan bagi menentukan corak pengambilan logam berat dalam sayuran dan bahagian-bahagiannya. Selain itu ujian Kruskal-Wallis digunakan bagi membuat perbandingan median di antara logam berat yang diserap oleh sayuran yang dikaji. Nilai khi-kuasa dua dan juga nilai-p digunakan bagi menentukan sama ada sesuatu logam berat yang diserap itu berkait rapat dengan jenis sayuran secara signifikan. Secara umum bolehlah dikatakan bahawa logam Fe, Mn dan Zn adalah dominan dalam semua bahagian sayuran yang dikaji. Selain itu, melalui ujian Kruskal-Wallis didapati penyerapan kesemua logam berat pada setiap bahagian sayuran adalah berbeza secara signifikan. Penyuaian model regresi linear, kuadratik, kubik atau eksponen telah dilakukan terhadap data ini dan didapati kebanyakan data dapat disuaikan dengan baik oleh model kuadratik dan kubik berdasarkan nilai pekali penentuan (R2).
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  4. Abdul Rahim Samsuddin, Abdul Ghani Rafek, Umar Hamzah, Suharsono, Khairul Anuar Mohd Nayan
    Analisis spektrum gelombang permukaan (SASW) adalah kaedah seismos yang menggunakan ciri serakan gelombang Rayleigh yang merambat pada lapisan bahan bagi memperolehi profil halaju gelombang ricih. Kaedah SASW merupakan satu kaedah insitu tanpa musnah untuk pencirian tapak geoteknik yang lebih kos efektif berbanding kaedah konvensyenal secara penggerudian. Dalam kajian ini sebanyak 20 stesen yang terdiri daripada 13 tapak kajian telah dipilih. Perisian (WINSASW 2.0) telah digunakan dalam proses penyongsangan untuk menghasilkan profil halaju gelombang ricih melawan kedalaman. Profil-profil ini kemudian dianalisis secara berasingan bagi memperolehi beberapa parameter geologi kejuruteraan jasad batuan seperti kekukuhan, nilai Penanda Mutu Batuan (RQD), anisotropi dan sifat kebolehkorekan. Analisis data SASW dijalankan dengan menganggap bahawa jasad batuan adalah homogen dan isotrop serta mengandungi pelbagai intensiti ketakselanjaran yang mempengaruhi perambatan halaju gelombang permukaan. Pengukuran sifat kedinamikan tanah dijalankan dengan menggunakan halaju gelombang ricih dan nilai ketukan N daripada Ujian Penusukan Piawai (NSPT) dalam lubang gerudi. Satu persamaan linear baharu, Vs = 4.44 NSPT + 213.84 yang mengaitkan halaju gelombang ricih dan NSPT telah diperolehi. Satu persamaan empirik telah dikemukakan bagi mengukur nilai Penanda Mutu Batuan (RQD) berasaskan halaju gelombang ricih yang diperolehi daripada kaedah SASW dan halaju daripada ujian ultrasonik. Persamaan ini memberikan hasil yang perbezaannya kurang daripada 10% berbanding data RQD daripada lubang gerudi. Analisis keanisotropan jasad batuan dijalankan menggunakan halaju gelombang ricih yang diperolehi berdasarkan kaedah SASW yang diukur dalam empat arah. Plot nisbah halaju gelombang ricih - halaju ultrasonik melawan halaju ultrasonik telah digunakan untuk menentukan sifat kebolehkorekan jasad batuan. Sebanyak lima kelas lengkungan kebolehkorekan jasad batuan telah dapat dikemukakan iaitu lengkungan Mudah korek, Mudah koyak, Susah koyak, Pemecah hidraulik dan Peletupan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  5. Sahibin Abd. Rahim, Tukimat Lihan, Baba Musta, Adong Laming, Zulfahmi Ali Rahman, Wan Mohd. Razi Idris, et al.
    Kandungan logam-logam berat Pb, Zn, Ni, Co dan Cd pada empat bahagian tumbuhan Nepenthes sp. (akar, batang, daun dan periuk) serta substrat tanih yang menyokong pertumbuhannya dari kawasan bekas lombong bijih timah dan besi di Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor telah ditentukan. Komposisi logam-logam berat dalam sampel tanih diekstrak menggunakan campuran asid nitrik pekat dan asid perklorik. Pengekstrakan logam berat dalam tumbuhan pula dilakukan menggunakan kaedah penghadaman basah. Kandungan logam berat di dalam ekstrak larutan tanih dan tumbuhan ditentukan menggunakan Spektrofotometer Penyerapan Atom kaedah nyalaan (FAAS-model Perkin Elmer 3300). Nilai koefisien Penyerapan Biologi (BAC) yang merupakan nisbah kandungan logam berat dalam tumbuhan kepada kandungan logam berat dalam tanih ditentukan secara kiraan. Hasil kajian menunjukkan bahawa tanih di kawasan kajian adalah berasid dan didominasi oleh pasir. Kandungan bahan organik dan kepekatan garam dalam tanih pula adalah rendah, manakala nilai pH adalah berasid. Logam Zn (698.5 mg/kg) menunjukkan kepekatan yang tinggi di dalam substrat tanih diikuti oleh logam Co (182.9 mg/kg), Pb (58.2 mg/kg), Ni (12.2 mg/kg) dan Cd (2.09 mg/kg). Kepekatan logam berat di dalam tumbuhan mengikut kepekatan menurun adalah Ni>Co>Cd>Pb>Zn. Kepekatan logam di dalam bahagian-bahagian tumbuhan tidak menunjukkan perbezaan signifikan bagi semua logam. Tumbuhan Nepenthes sp. didapati menumpukkan logam Ni dalam kepekatan yang tinggi sebagaimana yang ditunjukkan nilai BACnya yang tinggi. Tumbuhan ini mungkin boleh digunakan sebagai bio-penunjuk bagi kehadiran Ni dalam kepekatan yang tinggi di dalam tanih.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  6. Muhamad Jafar Luthfi, Mahanem Mat Noor
    Sanrego (Lunasia amara Blanco) digunakan masyarakat tempatan di Indonesia sebagai bahan afrodisiak dan mampu mengatasi masalah kesuburan lelaki. Penyelidikan ini mengkaji kesan pengambilan ekstrak akuas sanrego pada dos 30, 60 dan 90 mg/kg berat badan masing-masing terhadap bilangan, motiliti dan morfologi sperma serta tahap kesuburan dan afrodisiak tikus jantan. Kumpulan kawalan diberikan air suling. Semua perlakuan diberikan secara suap-paksa sekali sehari pada pukul 10.00 pagi-11.00 pagi selama 42 hari diikuti dengan analisis sperma dan ujian tahap kesuburan. Analisis sperma menunjukkan bahawa sanrego mempunyai kesan peningkatan bilangan sperma dengan gred motiliti terbaik (gred a) dengan signifikan tanpa mempengaruhi morfologi sperma. Pengujian tahap kesuburan menunjukkan peningkatan pada kumpulan haiwan perlakuan. Jumlah bilangan pemanjatan tikus jantan dengan perlakuan sanrego juga lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan. Kajian ini mendapati tumbuhan sanrego berpotensi meninggikan kesuburan dan mempunyai kesan afrodisiak pada haiwan jantan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  7. Noraini T, Ruzi A, Nadiah N, Nisa R, Maideen H, Solihani S
    Sains Malaysiana, 2012;41:53-62.
    Kajian anatomi stip telah dijalankan ke atas tujuh spesies Davallia, iaitu D. denticulata, D. divaricata, D. trichomanioides var. trichomanioides, D. trichomanioides var. lorrainii, D. corniculata, D. repens dan D. solida var. solida di Malaysia. Kajian ini melibatkan keratan rentas bahagian stip menggunakan mikrotom gelongsor. Hasil kajian menunjukkan ciri anatomi stip seperti bentuk luaran stip, corak kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis, jenis dan bentuk stel, bilangan berkas vaskular, bilangan lapisan sel parenkima dan juga kehadiran cuping pada keratan rentas stip boleh digunakan untuk pengecaman dan pembezaan spesies. Ciri sepunya bagi genus Davallia ialah kehadiran sel sklerenkima mengelilingi stel dan di bawah lapisan sel epidermis, serta kehadiran sel parenkima berdinding tebal. Banyak ciri diagnostik ditemui dalam kajian ini dan antaranya ialah kehadiran satu cuping pada keratan stip tengah ditemui hanya pada D. trichomanioides var. lorrainii, corak 4 kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis ditemui hanya pada D. repens, corak 3 hanya ditemui pada D. solida var. solida, corak 5 dan 7 hanya ditemui pada D. corniculata, stel jenis dorsiventral protostel bagi D. divaricata dan bagi D. trichomanioides var. trichomanioides pula, kehadiran stel bentuk arka pada stip atas, stip tengah dan juga bawah merupakan ciri diagnostik yang baik untuk pengecaman spesies ini. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa ciri anatomi stip mempunyai nilai taksonomi dalam genus Davallia dan boleh digunakan sebagai data sokongan untuk tujuan pengecaman dan pembezaan spesies.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  8. Azhar Ahmad, Jamaludin Md Ali
    Sains Malaysiana, 2013;42:989-997.
    Kertas ini membincangkan satu keluarga lengkung peralihan satahan licin yang dibina menggunakan dua lingkaran kuartik Bezier. Lingkaran kuartik yang diperkenalkan ini mempunyai enam darjah kebebasan yang memberi kelebihan untuk mempelbagaikan rupa bentuk lingkaran di dalam selangnya. Kelicinan adalah dirujuk melalui ciri-ciri keselanjaran geometri G2 dan kelengkungan monoton yang dimiliki oleh sesuatu lengkung peralihan. Oleh sebab lengkungan ini tidak memiliki sebarang juring, gelung dan titik lengkok balas, di samping tanpa perubahan kelengkungan yang mendadak maka ia amat sesuai untuk aplikasi tertentu dalam Reka Bentuk Berbantukan Komputer (RBK) bagi memenuhi keperluan estatis serta kepentingan fungsinya seperti reka bentuk produk industri, trajektori robot tidak holonomi dan juga reka bentuk mendatar landasan kereta api serta lebuh raya. Sebagai suatu perwakilan polinomial, lingkaran kuartik Bezier ini mampu digabungjalinkan ke dalam sistem RBK yang kebanyakannya berasaskan perwakilan NURBS (nonuniform rational B-splines).
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  9. Masturah E, Kong L, Norhasidah S, Maaruf A
    Sains Malaysiana, 2015;44:399-403.
    Kajian ini dijalankan untuk menentukan kesan penggunaan yis daripada fermentasi beras putih dan perang terhadap
    ciri fizikal roti. Yis daripada empat perlakuan fermentasi iaitu beras putih mentah (BP), beras putih dimasak (BPM), beras
    perang mentah (BB) dan beras perang dimasak (BBM) telah digunakan untuk penghasilan roti. Kualiti roti dinilai daripada
    segi isi padu spesifik, tekstur, saiz, bilangan liang, kandungan kelembapan serta warna. Hasil kajian menunjukkan yis
    BBM menghasilkan isi padu spesifik roti yang tertinggi dan tekstur yang paling lembut. Kandungan kelembapan kulit dan
    isi roti yang difermentasi oleh yis BBM adalah tertinggi. Bilangan liang yang banyak dan saiz liang yang kecil pada roti
    yis BBM telah menghasilkan tekstur yang paling halus dan mempunyai kecerahan (L*) yang tertinggi. Keseluruhannya,
    yis BBM menunjukkan potensi sebagai agen penaik dalam industri bakeri.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  10. Muhammad Marsudi, Dzuraidah Abdul Wahab, Lily Amelia, Che Hassan Che Haron
    Kertas ini membincangkan pembangunan suatu alat sokongan pembuat keputusan dalam mereka bentuk produk berasaskan teori baris-gilir yang dikaitkan dengan maklumat masa kitar pembuatan. Dengan penggunaan alat sokongan ini, kesan reka bentuk sesuatu produk terhadap parameter kapasiti dan masa kitar pembuatan sesuatu sistem pembuatan sedia ada dapat ditentukan. Aplikasi alat sokongan ini membolehkan kumpulan pembangunan produk membangunkan produk sebenar pada masa yang singkat, meminimumkan kos pembangunan serta mengurangkan keperluan untuk mereka
    bentuk semula produk. Alat sokongan ini telah diaplikasikan pada sebuah industri automotif tempatan dan hasil kajian menunjukkan bahawa alat sokongan tersebut telah berjaya melakukan analisis masa kitar dan tahap penggunaan pada sistem pembuatan sedia ada. Pada jumlah keluaran 44 komponen/jam dan saiz sesekumpul 80, hasil analisis menunjukkan tahap penggunaan pada 98% dengan masa kitar 17.8 jam bagi pemprosesan gabungan produk yang terdiri daripada komponen dengan reka bentuk baru dan reka bentuk sedia ada.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  11. Abdul Fattah Abu Bakar, Siti Nathasa Md Barkawi, Marlia Mohd. Hanafiah, Lee KE, Azhar Abdul Halim
    Sains Malaysiana, 2016;45:1509-1516.
    Keberkesanan rawatan air sisa industri automotif ditentukan dengan menggunakan kaedah penjerapan turus. Peratusan penyingkiran ammonia dan logam berat terpilih telah dikaji menggunakan pasir biasa dan pasir terubah suai secara kimia sebagai bahan penjerap. Dua model matematik iaitu Model Thomas serta Model Yoon-Nelson telah digunakan untuk menentukan kapasiti penjerapan maksimum ammonia. Peratusan penyingkiran ammonia menunjukkan pasir terubah suai secara kimia mencatatkan julat peratusan penyingkiran yang lebih tinggi iaitu 43.68% hingga 96.55% berbanding pasir biasa yang mencatatkan julat 0% hingga 89.66%. Logam berat zink, mangan, kromium, kuprum, arsenik, nikel, kobalt dan ferum mencatatkan peratusan penyingkiran antara 93% hingga 100% apabila menggunakan pasir terubah suai secara kimia manakala pasir biasa mencatatkan julat peratusan penyingkiran daripada 0.8% hingga 100%. Keputusan analisis menggunakan Model Thomas menunjukkan kapasiti penjerapan maksimum, qo ammonia menggunakan pasir terubah suai secara kimia (8.80 mg/g) adalah empat kali lebih tinggi daripada pasir biasa (2.57 mg/g) manakala masa bolos, t0.5 bahan penjerap yang ditentukan menggunakan Model Yoon dan Nelson mencatatkan masa tertinggi bagi pasir terubah suai secara kimia iaitu 30.18 min berbanding 9.57 min bagi pasir biasa. Kajian ini menunjukkan peratusan penyingkiran dan kapasiti penjerapan ammonia dan logam berat terpilih iaitu zink, mangan, kuprum, arsenik, nikel, kobalt dan ferum lebih tinggi bagi turus pasir terubah suai secara kimia berbanding pasir biasa.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  12. Maniam UM, Liong CY
    Sains Malaysiana, 2007;36:213-223.
    Globalisasi dan dunia ICT masa kini telah meningkatkan lagi permintaan terhadap tenaga buruh yang berkualiti. Majikan pada hari ini sudah tidak lagi berpegang kepada persepsi bahawa pengetahuan akademik semata-mata adalah mencukupi malah mereka telah menyarankan agar institusi pengajian tinggi dapat melahirkan siswazah yang mempunyai kemahiran boleh-pindah yang tinggi demi meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Saranan sedemikian kian mendapat tempat memandangkan statistik kebelakangan ini menunjukkan pengangguran di kalangan siswazah adalah semakin meningkat di negara ini. Makalah ini membincangkan persepsi pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap atribut pekerjaan dari segi kepentingannya dan tahap kemahiran atau keupayaan mereka sendiri. Kajian ini merangkumi pelajar jurusan sains dan sastera. Tahap kepuasan pelajar dari aspek program pengajian dan pengalaman di universiti secara keseluruhan turut dinilai. Seramai 200 orang pelajar pra-siswazah tahun akhir telah dipilih secara pensampelan rawak berstratum dan data yang diperoleh diproses menggunakan kaedah-kaedah analisis min, ujian-t dan analisis varians. Keputusan analisis mendapati pelajar menilai tahap kepentingan kemahiran-kemahiran itu lebih tinggi daripada tahap kemahiran mereka sendiri dan terdapat perbezaan di antara tahap kemahiran daripada aspek jurusan, jantina, PNGK dan etnik. Pada keseluruhannya, pelajar didapati berpuas hati dengan program pengajian, pengalaman di universiti dan persediaan kerjaya masing-masing. Walau bagaimanapun, daripada hasil kajian ini terdapat beberapa aspek yang perlu diberi tumpuan terutamanya aspek sokongan dan bimbingan dari staf akademik dan pihak universiti dalam perancangan kerjaya pelajar serta penambaikan kemudahan pelajar.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  13. Leow KT, Aminah Abdullah, Mushrifah Idris
    Anggaran kuantiti dan pencirian fizikokimia sisa buangan makanan adalah pra-keperluan untuk mengoptimumkan proses pengkomposan. Satu tinjauan untuk menganggar jumlah sisa buangan makanan yang dijana oleh sektor komersial (n=10) dan isi rumah (n=50) di Bandar Baru Bangi telah dilakukan. Kehadiran komponen sisa nasi, sisa berasaskan daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan dan sisa buangan makanan basah yang lain juga diperiksa. Ciri fizikokimia sisa buangan makanan juga dianalisis. Jumlah sisa buangan makanan yang dijana di Bandar Baru Bangi dianggarkan sebanyak 11.41 MT sehari. Sektor isi rumah menyumbang 67.3% manakala sektor komersial menyumbang 32.7% daripada jumlah sisa buangan makanan yang dihasilkan. Kekerapan sisa buangan makanan berkeadaan basah adalah lebih tinggi (p<0.05) di sektor komersial berbanding sektor isi rumah. Sisa nasi merupakan komponen sisa buangan makanan yang paling kerap dijana oleh sektor isi rumah dan sektor komersial. Penilaian ciri fizikokimia menunjukkan nilai pH, kandungan abu, bahan organik, karbon organik, nitrogen dan lemak serta nisbah C/N adalah berbeza (p<0.05) antara sisa buangan makanan yang dijana pada hari yang berlainan. Sisa buangan makanan bersifat asid (pH 4.82-5.17) mempunyai kandungan air (65.9-69.5%) dan lemak yang tinggi (13.1-20.2%) tetapi kandungan nitrogen yang rendah (0.63-0.85%). Walau bagaimanapun, nisbah C/N masih berada dalam julat (20-25) yang sesuai untuk pengkomposan yang berkesan. Oleh yang demikian, dengan memperkenalkan proses pengkomposan, sisa buangan makanan berkenaan berpotensi digunakan sebagai kompos.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  14. Masni Mohd Ali, Norfariza Humrawali, Mohd Talib Latif
    Kajian ini adalah mengenai peranan sterol sebagai penunjuk bio-lipid untuk mengenal pasti variasi dan sumber bahan organik yang hadir bersama sedimen permukaan dari Kuala Selangor, Selangor. Kajian melibatkan kaedah pengekstrakan sterol daripada sampel sedimen dan seterusnya dianalisis menggunakan GC-MS untuk menentukan kehadiran sebatian tersebut. Sepuluh sebatian sterol dikenal pasti hadir dengan fitosterol merupakan sebatian dominan di kawasan kajian iaitu 79% daripada jumlah keseluruhan sterol. Ini diikuti oleh kolesterol serta sterol kumbahan masing-masing menyumbangkan 6% daripada jumlah keseluruhan sterol manakala selebihnya berada dalam julat 1-5%. Indeks Sumber Sterol (SSI) juga menunjukkan kandungan fitosterol yang tinggi walaupun hadir pada kadar yang berbeza di setiap stesen pensampelan. Penilaian pencemaran kumbahan menggunakan nisbah koprostanol/kolesterol, koprostanol/(koprostanol+kholestanol) serta epikoprostanol/koprostanol menunjukkan kawasan kajian tidak mengalami pencemaran kumbahan walaupun sterol daripada sumber kumbahan hadir di persekitarannya. Kesimpulannya sedimen permukaan di Kuala Selangor, Selangor mengandungi campuran sterol daripada pelbagai sumber yang hadir di persekitarannya dengan didominasi oleh fitosterol yang berasal daripada tumbuhan terestrial.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  15. Mohamed Kamel Abd. Ghani, Hartini Yusof
    Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.
    Blastocystis hominis merupakan antara protozoa yang paling biasa ditemui di dalam sampel feses manusia di seluruh dunia. Prevalens infeksi protozoa ini adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tinggal di negara membangun berbanding negara maju. Seramai 71 orang kanak-kanak Orang Asli dari Pos Lenjang, Pahang telah menjadi subjek dalam kajian ini. Bagi kajian yang lebih terperinci, kumpulan kanak-kanak ini telah dibahagikan menurut jantina dan umur. Sampel feses dikumpul dan setiap sampel diperiksa dengan menggunakan 3 teknik diagnostik iaitu teknik apusan langsung, konsentrasi formalin-eter dan perwarnaan trikrom bagi tujuan pengesanan dan pengenalpastian Blastocystis hominis. Prevalens infeksi Blastocystis hominis di kalangan kanak-kanak Orang Asli adalah sangat tinggi iaitu 93%. Kanak-kanak perempuan didapati lebih ramai terinfeksi (97.5%) berbanding kanak-kanak lelaki (87.1%) walaupun secara statistiknya tidak signifikan (p>0.05). Protozoa ini juga telah menginfeksi kesemua kanak-kanak prasekolah (100%) manakala kanak-kanak yang bersekolah turut menunjukkan prevalens infeksi yang tinggi iaitu 86.5%. Daripada segi diagnosis, teknik perwarnaan trikrom didapati paling sensitif dan ia dapat mengenalpasti kesemua (66) sampel feses yang positif dengan Blastocystis hominis. Ini diikuti dengan teknik konsentrasi formalin-eter (43 sampel) dan teknik apusan langsung (18 sampel) (p<0.05). Prevalens infeksi Blastocystis hominis yang tinggi di kalangan kanak-kanak Orang Asli adalah berhubungkait dengan pelbagai faktor termasuk status sosioekonomi yang rendah, budaya, kekurangan kemudahan asas dan tahap pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan serta kebersihan diri yang rendah. Selain itu, peningkatan prevalens infeksi dalam kajian ini menunjukkan pentingnya penggunaan teknik diagnostik yang lebih berkesan di dalam pemeriksaan rutin bagi memperolehi hasil diagnosis yang lebih tepat.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  16. Mohd Nazri Idris, Abdul Razak Daud, Nurakma Mahat, Norinsan Kamil Othman, Fathul Karim Sahrani
    Sains Malaysiana, 2016;45:1835-1841.
    Ancaman biokakisan akibat aktiviti bakteria penurun sulfat (SRB) pada saluran paip keluli karbon dalam industri petroleum boleh menjejaskan kelancaran aliran pengangkutan minyak mentah dan meningkatkan kos pengoperasian. Usaha bagi melindungi keluli karbon serta pengawalan SRB masih memerlukan kajian yang berterusan. Dalam kajian ini, keberkesanan tetrametilamonium bromida (TMB), karboksimetil trimetilamonium (BTN) dan benzalkonium klorida (BKC) bagi melindungi keluli karbon di dalam persekitaran yang mengandungi SRB diuji melalui kaedah pengutuban elektrokimia dinamik (PED) dan morfologi keluli karbon dianalisis menggunakan mikroskop elektron imbasan. Analisis PED mendapati penggunaan TMB, BTN dan BKC masing-masing berupaya mengurangkan kadar kakisan sehingga 0.13, 0.56 dan 0.17 mm/thn berbanding 8.91 mm/thn pada larutan kawalan yang mengandungi SRB. Morfologi permukaan biofilem mengesahkan kadar pertumbuhan SRB serta hasilan metabolisme bakteria ini turut mengalami penyusutan. Kajian ini menunjukkan dua mekanisme kawalan kakisan didapati berlaku iaitu mekanisme perencatan kakisan melalui penjerapan sebatian amonium kuaterner pada permukaan keluli karbon serta berlakunya proses tindak balas mitigasi sebatian ini dengan bakteria SRB. Kesimpulannya, TMB, BTN dan BKC didapati berupaya melindungi keluli karbon daripada mengalami kakisan akibat aktiviti SRB.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  17. Zainal Rasyid Mahayuddin, Haslina Arshad, Che Hassan Che Haron
    Kertas kerja ini membincangkan pendekatan dalam mengintegrasikan Java dan persekitaran VRML yang telah diaplikasikan dalam mensimulasi masa nyata bagi proses kisar hujung maya. Pendekatan yang menggunakan Routing ini adalah sangat penting untuk komunikasi dan penghantaran mesej antara VRML dan Java. Dalam pendekatan ini, nod Script digunakan bagi memanggil dan menghubungkan kelas Java dengan entiti-entiti yang sepatutnya di dalam persekitaran VRML. Simulasi bahan termesin bagi proses kisar hujung dalam sistem ini dilaksanakan melalui satu kaedah baru iaitu dengan penggunaan nod penaikan bagi penjanaan objek 3D dan nod PositionInterpolator serta CoordinateInterpolator bagi animasi bahan termesin. Melalui kaedah ini simulasi bagi proses kisar hujung dapat dipaparkan secara maya dan pada masa yang sama graf haus rusuk bagi perkakas pemotong melawan masa pemotongan dapat dijana serentak.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  18. Mohd Zuki Salleh, Roslinda Nazar
    Penyelesaian berangka bagi masalah aliran lapisan sempadan olakan bebas mantap terhadap silinder bulat mengufuk yang dijanakan oleh pemanasan Newtonan, iaitu pemindahan haba dari permukaan berkadar langsung dengan suhu permukaan setempat, dipertimbangkan. Persamaan lapisan sempadan terjelma diselesaikan secara berangka dengan suatu skim berangka beza terhingga tersirat yang dikenali sebagai kaedah kotak Keller. Penyelesaian berangka diperoleh bagi pekali geseran kulit, pekali pemindahan haba setempat, suhu dinding serta profil halaju dan suhu. Ciri-ciri aliran dan pemindahan haba bagi suatu julat nilai nombor Prandtl yang besar dianalisis dan dibincangkan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  19. Muhammad Barzani Gasim, Salmijah Surif, Sahibin Abd. Rahim, Chong HB, Mohd. Ekhwan Toriman, Mazlin Mokhtar
    Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca berlakunya banjir di Segamat pada 17 hingga 21 Disember 2006. Kegiatan termasuklah mengumpul, menilai dan mengalisis data taburan hujan dari Januari 1998 hingga Disember 2006 serta menganalisis data telemetri harian bagi aras dan luahan air sungai pada Disember 2006. Satu set data hujan harian, bulanan dan tahunan dari Stesen Felda Medoi, Segamat telah dianalisis dan dihubungkait dengan data telemetri. Data taburan hujan selama 8 tahun tersebut menunjukkan kawasan Bandar Segamat menerima hujan bulanan yang berjulat daripada 2.5 mm (Februari 2004) sehingga 536.8 mm (Januari 2003). Taburan hujan bulanan Oktober sehingga Disember 2006 menunjukkan kenaikan secara positif, iaitu daripada 118 mm sehingga 435 mm/bulan tetapi berlaku penurunan (392 mm) pada Januari 2007. Hasil kajian menunjukkan bahawa hujan lebat yang luar biasa dan keadaan bentuk topografi yang rendah dan beralun di kawasan kajian adalah penyebab utama banjir di Segamat.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  20. Nur Azlina Mohd. Fahami, Muharani Tajudin
    Kajian ini telah dijalankan untuk menentukan kesan suplimentasi tokotrienol (TT) dan tokoferol (TF) ke atas status oksidatif dan aktiviti enzim antioksidan pada hepar tikus dalam keadaan stres. Sebanyak 24 ekor tikus Sprague-Dawley jantan telah dibahagikan secara rawak kepada empat kumpulan. Dua kumpulan kawalan, kumpulan stres (CS) dan kumpulan tanpa stres (C) serta dua kumpulan rawatan yang diberikan tokotrienol (TTS) atau tokoferol (TFS) secara oral paksaan pada dos 60 mg/kg berat badan selama 28 hari dan didedahkan kepada stres. Setelah tamat tempoh rawatan, tikus-tikus daripada kumpulan CS, TTS dan TFS telah didedahkan kepada stres restain selama dua jam sehari untuk empat hari berturut-turut. Kemudian, darah tikus diambil untuk menentukan aktiviti enzim antioksidan iaitu superoksid dismutas (SOD) dan glutation peroksidase (GPx) manakala hepar diambil untuk menentukan kandungan malondialdehid (MDA) dan tahap glutation. Hasil kajian mendapati kandungan MDA meningkat dan glutation menurun secara signifikan pada tisu hepar pada kumpulan CS setelah diaruh stres, berbanding kumpulan tanpa stres. Walau bagaimanapun, tikus yang diberi suplimentasi tokotrienol dan tokoferol menunjukkan penurunan signifikan kandungan MDA dan peningkatan glutation berbanding kumpulan kawalan. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa tokotrienol dan tokoferol mampu menghalang tekanan oksidatif pada hepar akibat stres. Hasil daripada kajian ini juga menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam aktiviti GPx plasma tikus pada kumpulan CS. Kumpulan tikus yang disuplimentasikan dengan tokotrienol menunjukkan penurunan yang signifikan dalam aktiviti GPx berbanding kumpulan CS. Sebagai kesimpulan, tokotrienol dan tokoferol berkesan dalam mengurangkan status oksidatif pada hepar tikus dan ini dapat diperhatikan dengan peningkatan glutation hepar dan penurunan aktiviti GPx plasma tikus yang teraruh stres.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links