Displaying publications 21 - 40 of 82 in total

Abstract:
Sort:
  1. Ahmad Mahir Razali, Khairiah Jusoh, Nor Asyikin A, Siti Adyani S, Wardatun Aathirah M, Maimon Abdullah, et al.
    Kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan penentuan model yang sesuai serta analisis data penyerapan logam berat oleh sayuran berdaun yang terpilih iaitu kangkung (Ipomea aquatica), sawi bunga (Brassica chinensis var parachinensis), bayam (Amaranthus oleraceus L) dan sawi putih (Brassica chinensis L.). Kajian ini bertujuan untuk menentukan dan membandingkan kandungan serta corak pengambilan logam berat yang diserap oleh sayuran dan juga bahagian-bahagiannya yang meliputi daun, batang dan akar. Penentuan model yang dibuat bertujuan bagi melihat corak penyerapan logam berat oleh sayuran atau bahagian sayuran tertentu. Logam berat yang dikaji terdiri daripada kadmium , kromium, kuprum, ferum , mangan, plumbum dan zink. Plot serakan digunakan bagi menentukan corak pengambilan logam berat dalam sayuran dan bahagian-bahagiannya. Selain itu ujian Kruskal-Wallis digunakan bagi membuat perbandingan median di antara logam berat yang diserap oleh sayuran yang dikaji. Nilai khi-kuasa dua dan juga nilai-p digunakan bagi menentukan sama ada sesuatu logam berat yang diserap itu berkait rapat dengan jenis sayuran secara signifikan. Secara umum bolehlah dikatakan bahawa logam Fe, Mn dan Zn adalah dominan dalam semua bahagian sayuran yang dikaji. Selain itu, melalui ujian Kruskal-Wallis didapati penyerapan kesemua logam berat pada setiap bahagian sayuran adalah berbeza secara signifikan. Penyuaian model regresi linear, kuadratik, kubik atau eksponen telah dilakukan terhadap data ini dan didapati kebanyakan data dapat disuaikan dengan baik oleh model kuadratik dan kubik berdasarkan nilai pekali penentuan (R2).
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  2. Sahibin Abd. Rahim, Tukimat Lihan, Baba Musta, Adong Laming, Zulfahmi Ali Rahman, Wan Mohd. Razi Idris, et al.
    Kandungan logam-logam berat Pb, Zn, Ni, Co dan Cd pada empat bahagian tumbuhan Nepenthes sp. (akar, batang, daun dan periuk) serta substrat tanih yang menyokong pertumbuhannya dari kawasan bekas lombong bijih timah dan besi di Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor telah ditentukan. Komposisi logam-logam berat dalam sampel tanih diekstrak menggunakan campuran asid nitrik pekat dan asid perklorik. Pengekstrakan logam berat dalam tumbuhan pula dilakukan menggunakan kaedah penghadaman basah. Kandungan logam berat di dalam ekstrak larutan tanih dan tumbuhan ditentukan menggunakan Spektrofotometer Penyerapan Atom kaedah nyalaan (FAAS-model Perkin Elmer 3300). Nilai koefisien Penyerapan Biologi (BAC) yang merupakan nisbah kandungan logam berat dalam tumbuhan kepada kandungan logam berat dalam tanih ditentukan secara kiraan. Hasil kajian menunjukkan bahawa tanih di kawasan kajian adalah berasid dan didominasi oleh pasir. Kandungan bahan organik dan kepekatan garam dalam tanih pula adalah rendah, manakala nilai pH adalah berasid. Logam Zn (698.5 mg/kg) menunjukkan kepekatan yang tinggi di dalam substrat tanih diikuti oleh logam Co (182.9 mg/kg), Pb (58.2 mg/kg), Ni (12.2 mg/kg) dan Cd (2.09 mg/kg). Kepekatan logam berat di dalam tumbuhan mengikut kepekatan menurun adalah Ni>Co>Cd>Pb>Zn. Kepekatan logam di dalam bahagian-bahagian tumbuhan tidak menunjukkan perbezaan signifikan bagi semua logam. Tumbuhan Nepenthes sp. didapati menumpukkan logam Ni dalam kepekatan yang tinggi sebagaimana yang ditunjukkan nilai BACnya yang tinggi. Tumbuhan ini mungkin boleh digunakan sebagai bio-penunjuk bagi kehadiran Ni dalam kepekatan yang tinggi di dalam tanih.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  3. Muhamad Jafar Luthfi, Mahanem Mat Noor
    Sanrego (Lunasia amara Blanco) digunakan masyarakat tempatan di Indonesia sebagai bahan afrodisiak dan mampu mengatasi masalah kesuburan lelaki. Penyelidikan ini mengkaji kesan pengambilan ekstrak akuas sanrego pada dos 30, 60 dan 90 mg/kg berat badan masing-masing terhadap bilangan, motiliti dan morfologi sperma serta tahap kesuburan dan afrodisiak tikus jantan. Kumpulan kawalan diberikan air suling. Semua perlakuan diberikan secara suap-paksa sekali sehari pada pukul 10.00 pagi-11.00 pagi selama 42 hari diikuti dengan analisis sperma dan ujian tahap kesuburan. Analisis sperma menunjukkan bahawa sanrego mempunyai kesan peningkatan bilangan sperma dengan gred motiliti terbaik (gred a) dengan signifikan tanpa mempengaruhi morfologi sperma. Pengujian tahap kesuburan menunjukkan peningkatan pada kumpulan haiwan perlakuan. Jumlah bilangan pemanjatan tikus jantan dengan perlakuan sanrego juga lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan. Kajian ini mendapati tumbuhan sanrego berpotensi meninggikan kesuburan dan mempunyai kesan afrodisiak pada haiwan jantan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  4. Leow KT, Aminah Abdullah, Mushrifah Idris
    Anggaran kuantiti dan pencirian fizikokimia sisa buangan makanan adalah pra-keperluan untuk mengoptimumkan proses pengkomposan. Satu tinjauan untuk menganggar jumlah sisa buangan makanan yang dijana oleh sektor komersial (n=10) dan isi rumah (n=50) di Bandar Baru Bangi telah dilakukan. Kehadiran komponen sisa nasi, sisa berasaskan daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan dan sisa buangan makanan basah yang lain juga diperiksa. Ciri fizikokimia sisa buangan makanan juga dianalisis. Jumlah sisa buangan makanan yang dijana di Bandar Baru Bangi dianggarkan sebanyak 11.41 MT sehari. Sektor isi rumah menyumbang 67.3% manakala sektor komersial menyumbang 32.7% daripada jumlah sisa buangan makanan yang dihasilkan. Kekerapan sisa buangan makanan berkeadaan basah adalah lebih tinggi (p<0.05) di sektor komersial berbanding sektor isi rumah. Sisa nasi merupakan komponen sisa buangan makanan yang paling kerap dijana oleh sektor isi rumah dan sektor komersial. Penilaian ciri fizikokimia menunjukkan nilai pH, kandungan abu, bahan organik, karbon organik, nitrogen dan lemak serta nisbah C/N adalah berbeza (p<0.05) antara sisa buangan makanan yang dijana pada hari yang berlainan. Sisa buangan makanan bersifat asid (pH 4.82-5.17) mempunyai kandungan air (65.9-69.5%) dan lemak yang tinggi (13.1-20.2%) tetapi kandungan nitrogen yang rendah (0.63-0.85%). Walau bagaimanapun, nisbah C/N masih berada dalam julat (20-25) yang sesuai untuk pengkomposan yang berkesan. Oleh yang demikian, dengan memperkenalkan proses pengkomposan, sisa buangan makanan berkenaan berpotensi digunakan sebagai kompos.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  5. Masni Mohd Ali, Norfariza Humrawali, Mohd Talib Latif
    Kajian ini adalah mengenai peranan sterol sebagai penunjuk bio-lipid untuk mengenal pasti variasi dan sumber bahan organik yang hadir bersama sedimen permukaan dari Kuala Selangor, Selangor. Kajian melibatkan kaedah pengekstrakan sterol daripada sampel sedimen dan seterusnya dianalisis menggunakan GC-MS untuk menentukan kehadiran sebatian tersebut. Sepuluh sebatian sterol dikenal pasti hadir dengan fitosterol merupakan sebatian dominan di kawasan kajian iaitu 79% daripada jumlah keseluruhan sterol. Ini diikuti oleh kolesterol serta sterol kumbahan masing-masing menyumbangkan 6% daripada jumlah keseluruhan sterol manakala selebihnya berada dalam julat 1-5%. Indeks Sumber Sterol (SSI) juga menunjukkan kandungan fitosterol yang tinggi walaupun hadir pada kadar yang berbeza di setiap stesen pensampelan. Penilaian pencemaran kumbahan menggunakan nisbah koprostanol/kolesterol, koprostanol/(koprostanol+kholestanol) serta epikoprostanol/koprostanol menunjukkan kawasan kajian tidak mengalami pencemaran kumbahan walaupun sterol daripada sumber kumbahan hadir di persekitarannya. Kesimpulannya sedimen permukaan di Kuala Selangor, Selangor mengandungi campuran sterol daripada pelbagai sumber yang hadir di persekitarannya dengan didominasi oleh fitosterol yang berasal daripada tumbuhan terestrial.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  6. Mohamed Kamel Abd. Ghani, Hartini Yusof
    Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.
    Blastocystis hominis merupakan antara protozoa yang paling biasa ditemui di dalam sampel feses manusia di seluruh dunia. Prevalens infeksi protozoa ini adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tinggal di negara membangun berbanding negara maju. Seramai 71 orang kanak-kanak Orang Asli dari Pos Lenjang, Pahang telah menjadi subjek dalam kajian ini. Bagi kajian yang lebih terperinci, kumpulan kanak-kanak ini telah dibahagikan menurut jantina dan umur. Sampel feses dikumpul dan setiap sampel diperiksa dengan menggunakan 3 teknik diagnostik iaitu teknik apusan langsung, konsentrasi formalin-eter dan perwarnaan trikrom bagi tujuan pengesanan dan pengenalpastian Blastocystis hominis. Prevalens infeksi Blastocystis hominis di kalangan kanak-kanak Orang Asli adalah sangat tinggi iaitu 93%. Kanak-kanak perempuan didapati lebih ramai terinfeksi (97.5%) berbanding kanak-kanak lelaki (87.1%) walaupun secara statistiknya tidak signifikan (p>0.05). Protozoa ini juga telah menginfeksi kesemua kanak-kanak prasekolah (100%) manakala kanak-kanak yang bersekolah turut menunjukkan prevalens infeksi yang tinggi iaitu 86.5%. Daripada segi diagnosis, teknik perwarnaan trikrom didapati paling sensitif dan ia dapat mengenalpasti kesemua (66) sampel feses yang positif dengan Blastocystis hominis. Ini diikuti dengan teknik konsentrasi formalin-eter (43 sampel) dan teknik apusan langsung (18 sampel) (p<0.05). Prevalens infeksi Blastocystis hominis yang tinggi di kalangan kanak-kanak Orang Asli adalah berhubungkait dengan pelbagai faktor termasuk status sosioekonomi yang rendah, budaya, kekurangan kemudahan asas dan tahap pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan serta kebersihan diri yang rendah. Selain itu, peningkatan prevalens infeksi dalam kajian ini menunjukkan pentingnya penggunaan teknik diagnostik yang lebih berkesan di dalam pemeriksaan rutin bagi memperolehi hasil diagnosis yang lebih tepat.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  7. Mohd Nazri Idris, Abdul Razak Daud, Nurakma Mahat, Norinsan Kamil Othman, Fathul Karim Sahrani
    Sains Malaysiana, 2016;45:1835-1841.
    Ancaman biokakisan akibat aktiviti bakteria penurun sulfat (SRB) pada saluran paip keluli karbon dalam industri petroleum boleh menjejaskan kelancaran aliran pengangkutan minyak mentah dan meningkatkan kos pengoperasian. Usaha bagi melindungi keluli karbon serta pengawalan SRB masih memerlukan kajian yang berterusan. Dalam kajian ini, keberkesanan tetrametilamonium bromida (TMB), karboksimetil trimetilamonium (BTN) dan benzalkonium klorida (BKC) bagi melindungi keluli karbon di dalam persekitaran yang mengandungi SRB diuji melalui kaedah pengutuban elektrokimia dinamik (PED) dan morfologi keluli karbon dianalisis menggunakan mikroskop elektron imbasan. Analisis PED mendapati penggunaan TMB, BTN dan BKC masing-masing berupaya mengurangkan kadar kakisan sehingga 0.13, 0.56 dan 0.17 mm/thn berbanding 8.91 mm/thn pada larutan kawalan yang mengandungi SRB. Morfologi permukaan biofilem mengesahkan kadar pertumbuhan SRB serta hasilan metabolisme bakteria ini turut mengalami penyusutan. Kajian ini menunjukkan dua mekanisme kawalan kakisan didapati berlaku iaitu mekanisme perencatan kakisan melalui penjerapan sebatian amonium kuaterner pada permukaan keluli karbon serta berlakunya proses tindak balas mitigasi sebatian ini dengan bakteria SRB. Kesimpulannya, TMB, BTN dan BKC didapati berupaya melindungi keluli karbon daripada mengalami kakisan akibat aktiviti SRB.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  8. Mohd Dini Hairi Suliman, Mastura Mahmud
    Sains Malaysiana, 2013;42:579-586.
    Kejadian kebakaran hutan yang memberikan implikasi negatif terhadap ekosistem hutan, kepelbagaian biologi, kualiti udara dan struktur tanah dapat dikurangkan melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan. Mekanisme pengurusan bencana dapat dibangunkan melalui sistem amaran awal yang tepat serta sistem penyampaian maklumat yang cekap. Penyelidikan ini cuba memberi tumpuan kepada pemetaan potensi kebakaran hutan serta penyampaian maklumat kepada
    pengguna melalui aplikasi WebGIS. Teknologi georuang dan permodelan matematik digunakan bagi mengenal pasti, mengelas serta memetakan kawasan hutan yang berpotensi untuk terbakar. Permodelan model proses analitik hierarki (AHP) serta teknologi georuang yang merangkumi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan pengumpulan data lapangan secara digital telah digunakan untuk negeri Selangor. AHP adalah suatu teknik yang dapat memodel sesuatu
    keputusan yang meliputi objektif menyeluruh, dalam kajian ini untuk mencari kawasan yang berpotensi berlakunya kebakaran hutan. Tiga kriteria iaitu bahan bakar, bentuk topografi dan faktor manusia telah dipilih untuk membina satu reka bentuk hierarki berstruktur yang setiapnya diberikan pemberat. Kemudian hierarki ini dianalisis melalui satu siri perbandingan berpasangan yang diproses secara matematik dan keutamaan diberikan kepada kedudukan yang tinggi untuk mencapai hasil sumbangan pakar yang terlibat secara langsung dengan operasi pemadaman kebakaran hutan
    yang terdiri daripada pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga dinilai dalam model ini. Hasil kajian mendapati 65% daripada keseluruhan Selangor berpotensi rendah untuk terbakar sementara kawasan seluas 32.83 km persegi iaitu di Bestari Jaya, Ulu Tinggi dan Kuala Langat berpotensi melampau terbakar. Paparan maklumat melalui aplikasi WebGIS ini merupakan satu pendekatan terbaik bagi membantu proses membuat keputusan pada tahap keyakinan yang tinggi dan hampir menyamai keadaan sebenar. Agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana
    seperti Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana (JPBB) Daerah, Negeri dan Pusat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dapat menggunakan hasil akhir kajian ini sebagai persediaan menghadapi ancaman kebakaran hutan pada masa akan datang.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  9. Amirul-aiman A, Noraini T, Nurul-aini C
    Sains Malaysiana, 2017;46:1679-1685.
    Acanthaceae merupakan famili tumbuhan angiosperma di bawah order Lamiales yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 4000 spesies sama ada spesies tropika atau subtropika. Spesies daripada famili ini ditemui di pelbagai habitat dan mempunyai pelbagai morfologi serta corak taburan geografi. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai ciri anatomi bagi Acanthaceae masih dangkal sehingga ke hari ini. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti jenis trikom yang hadir pada permukaan epidermis adaksial dan abaksial sepal dan juga petal bunga bagi beberapa spesies terpilih daripada Acanthaceae di Semenanjung Malaysia. Kajian ini melibatkan pengumpulan sampel di lapangan, penyediaan spesimen baucer, teknik kajian epidermis petal, cerapan di bawah mikroskop cahaya dan juga cerapan di bawah mikroskop imbasan elektron. Tiga puluh jenis trikom dicerap dalam kajian ini dan daripada jumlah tersebut, 23 jenis trikom dicerap hadir pada permukaan epidermis petal manakala 17 jenis trikom dicerap hadir pada permukaan epidermis sepal. Jenis trikom yang direkodkan ialah trikom ringkas unisel dan ringkas multisel, trikom kelenjar kapitat dan kelenjar peltat serta juga trikom berlengan. Keputusan kajian ini menunjukkan kehadiran dan jenis trikom pada permukaan sepal dan petal mempunyai nilai taksonomi yang berguna untuk tujuan pembezaan dan pengecaman spesies. Maklumat ciri morfologi trikom yang diperoleh daripada kajian ini merupakan maklumat baharu ciri anatomi bunga bagi Acanthaceae.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  10. Mohd. Suhaimi Ahmad, Muhammad Ridwan Fahmi, Mustaqqim Abdul Rahim, Naimah Ibrahim
    Sains Malaysiana, 2016;45:1857-1867.
    Suatu kajian untuk menilai kesan gabungan aktiviti guna tanah dan perubahan musim terhadap kualiti sumber air telah dijalankan di Terusan Utara, Kedah. Kajian ini dijalankan di lima stesen terpilih selama 12 bulan berdasarkan Indeks Kualiti Air (WQI) dan Piawaian Interim Kualiti Air Kebangsaan (INWQS). Kajian mendapati kualiti air di Terusan Utara berada pada Kelas III dan berlaku peningkatan kualiti air dari hulu ke hilir. Hampir semua stesen berpotensi sebagai punca pencemaran berdasarkan aktiviti guna tanah terutamanya di Pelubang, Jitra serta Tunjang. Kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan ketika perubahan musim pada DO, TSS serta BOD, namun tidak pada ammonia, pH dan COD. Secara amnya, kombinasi aktiviti guna tanah dan perubahan musim boleh mempengaruhi atau memberi kesan terhadap kualiti sumber air. Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan untuk mengawal punca pencemaran bagi memastikan kualiti sumber air di Terusan Utara kekal terpelihara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  11. Khor WC, Mohd Shafeea Leman, Muhammad Ashahadi Dzulkafli, Kamal Roslan Mohamed, Che Aziz Ali, Jasmi Ab Talib
    Sains Malaysiana, 2017;46:2315-2323.
    Jujukan batuan sedimen Kapur Awal Kumpulan Gagau di kawasan sekitar hulu Sungai Chichir dibentuk oleh batu pasir
    berpebel masif, batu lumpur masif dan lapisan tebal batu pasir dengan pelbagai struktur sedimen serta fosil. Jujukan ini
    boleh dibahagikan kepada tujuh fasies dengan mekanisme pengenapan berbeza. Berdasarkan asosiasi antara pelbagai
    fasies sedimen dapat ditafsirkan bahawa jujukan ini telah terenap dalam pelbagai sekitaran dataran aluvium termasuk
    alur sungai utama, sungai berliku, sungai berburai dan dataran banjir. Fosil yang ditemui memberikan usia Kapur
    Awal kepada jujukan ini. Bukti kehadiran tanah atas di kawasan ini mencerahkan harapan untuk penemuan pelbagai
    fosil hidupan daratan, khususnya fauna vertebrat serta dinosaur yang lebih baik dan lengkap.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  12. Ahmad Shah Pakeer Mohamed, Nazariah Osman, Mohamad Faisol Keling
    MyJurnal
    Kerajaan Malaysia telah memberikan penumpuan terhadap aspek keselamatan dan pembangunan
    pertahanan sejak dari kemerdekaan negara lagi. Pada ketika ini, ancaman yang dihadapi oleh negara
    adalah melibatkan dua bentuk ancaman iaitu ancaman dari dalam negara dan ancaman dari luar negara.
    Kebanyakkan negara khususnya di rantau Asia Tenggara telah mencapai kemerdekaan di antara tahun
    1950-an dan 1960-an. Sebagai sebuah negara yang juga boleh dikategorikan juga baru mencapai
    kemerdekaan, negara-negara di rantau Asia Tenggara ini tidak lari dari menghadapi pelbagai ancaman
    yakni ancaman dari sudut dalaman negara seperti ancaman pemberontakan komunis semasa insurgensi,
    konflik etnik, ketidakstabilan politik, rusuhan kaum, masalah perpaduan dan sebagainya telah menjadi
    faktor yang juga telah mempengaruhi perbentukan Dasar Pertahanan Negara (DPN). Manakala
    ancaman dari sudut luar seperti persempadan, persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan
    Kesatuan Soviet semasa perang dingin yang juga menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik,
    konflik dan peperangan di rantau Asia Tenggara, persaingan ideologi, ketegangan hubungan dan
    konflik hubungan antara negara, ancaman terrorisme dan pemberontakan serta sebagainya telah
    mempengaruhi dan memaksa negara Malaysia untuk membangun serta memodenkan sistem pertahanan
    negara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  13. Megat Muhammad Asri Salleh, Normah Jusoh
    MyJurnal
    Kajian ini adalah bertujuan untuk meneliti hubungan antara pengambilan kafein dan tahap keagresifan dalam kalangan atlet Kor SUKSIS. Kajian ini berbentuk kaedah tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik berkaitan pengambilan kafein dan tahap keagresifan The Judgements About Moral Behavior in Youth Sport (JAMBYSQ). Peserta kajian terdiri daripada 80 orang atlet sukan berpasukan SUKSIS yang dipilih secara rawak. Data telah dianalisis menggunakan ujian statistik deskriptif, ujian t tidak bersandar dan korelasi Pearson. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan signifikan (p = 0.014) bagi tahap kekerapan pengambilan kafein antara atlet lelaki (2.00 ± 0.87) dan atlet perempuan (1.50 ± 0.76). Selain itu, bagi tahap keagresifan pula tidak terdapat perbezaan signifikan antara atlet lelaki (3.37 ± 0.60) dan atlet perempuan (3.23 ± 0.66) serta tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pengambilan kafein dengan tahap keagresifan semasa bersukan (r = 0.024, n = 80, p =0.831). Kesimpulannya, walaupun kekerapan pengambilan kafein berbeza mengikut jantina tetapi ia tidak mempengaruhi tahap keagresifan dalam kalangan atlet Kor SUKSIS. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengkaji dos kafein yang sesuai yang dapat mencetus tahap keagresifan dalam kalangan atlet
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  14. S. Vinesh Raj, Manonmani Devi M.A.R. Annamala
    MyJurnal
    Kajian tentang ‘menelusuri watak-watak wanita dalam kumpulan cerpen ‘Ammavuku’; satu kajian subaltern’ ini bertujuan untuk mengenal pasti kedudukan watak wanita dalam sistem patriarki seperti yang digambarkan oleh Saras dalam kumpulan cerpennya ‘Ammavuku’. Kajian ini dapat menjawab persoalan tentang kedudukan wanita-wanita subaltern dalam sesebuah organisasi keluarga. Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah kualitatif dan dihuraikan secara deskriptif. Kaedah kajian kepustakaan dibuat untuk mengkumpul maklumat dan data yang berkaitan dalam kajian ini. Bahan – bahan rujukan dalam buku, jurnal, internet, serta perpustakaan daripada beberapa institut pengajian tinggi awam telah dikaji untuk mengambil maklumat dan data dengan terperinci. Kaedah kepustakaan digunakan secara menyeluruh dalam kajian ini. Kajian Subaltern dalam cerpen Saras meliputi hak-hak wanita yang ditindas oleh golongan lelaki dalam kehidupan seharian mereka. Hak wanita yang dikaji dari segi kedudukan wanita sebagai seorang ibu, isteri dan anak. Penelitian terhadap teori subaltern dalam kumpulan cerpen ‘Ammavuku’ akan menjadi suatu kesedaran bagi masalah yang dihadapi oleh kaum wanita dalam institusi kekeluargaan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  15. M. Kaviza
    MyJurnal
    Oleh kerana pelaksanaan pembelajaran sejarah yang berkesan dapat membentuk sikap belajar yang positif dalam kalangan murid, maka kajian tinjauan ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap persepsi sikap belajar sejarah dari segi minat belajar sejarah, kebolehan belajar sejarah dan penggunaan bahan sejarah bagi murid yang mengikuti pembelajaran sejarah berasaskan penggunaan sumber sejarah, di samping untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan min persepsi sikap belajar sejarah berdasarkan jantina. Seramai 55 orang murid Tingkatan Empat terlibat dalam kajian ini. Soal selidik yang telah diadaptasi yang telah disahkan oleh pakar-pakar penilai dalam bidang pendidikan sejarah serta mempunyai nilai kebolehpercayaan yang baik merupakan instrumen kajian ini. Data kajian ini telah dianalisis secara deskriptif dan inferensi iaitu ujian-t sampel berpasangan melalui perisian IBM SPSS. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tahap persepsi sikap belajar sejarah dan ketiga-tiga konstruknya adalah tinggi. Selain itu, dapatan kajian ini juga telah melaporkan bahawa tidak terdapat perbezaan min persepsi sikap belajar sejarah berdasarkan jantina. Sikap belajar sejarah yang positif yang telah dipamerkan oleh murid-murid dalam kajian ini telah mencadangkan kepada guru-guru Sejarah untuk merekabentuk dan melaksanakan proses pembelajaran sejarah dengan menggunakan sumber sejarah secara intensif di dalam kelas selaras dengan matlamat kurikulum sejarah untuk membina minat terhadap mata pelajaran sejarah sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik dan membina semangat patriotisme dalam mempertahankan kedaulatan negara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  16. Kartina Narwan
    MyJurnal
    Pemerkasaan wanita adalah salah satu syarat utama untuk mencapai kesaksamaan gender. Kajiankajian terdahulu mendapati sektor ekopelancongan berpotensi untuk memperkasa wanita dan merapatkan jurang gender dalam sesebuah komuniti. Namun begitu, sehingga kini masih wujud ketidaksaksamaan gender dalam sektor ekopelancongan dan ini telah memperlahankan proses pemerkasaan wanita dan seterusnya mempengaruhi pencapaian pembangunan komuniti khususnya di luar bandar. Sehubungan itu, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan perspektif gender untuk menganalisis kriteria-kriteria ketidaksaksamaan gender yang masih wujud dalam sektor ekopelancongan di luar bandar, Sabah. Disamping itu, kajian ini juga cuba untuk menilai sejauhmana sektor ekopelancongan mampu mengurangkan jurang ketidaksaksamaan gender serta mampu memperkasa wanita di luar bandar. Walaupun sebelum ini terdapat pelbagai kajian yang telah dilakukan di Sabah berkaitan isu ekopelancongan, namun pendekatan perspektif gender dalam kajian ekopelancongan di Malaysia khususnya di Sabah masih kurang. Untuk memenuhi kekurangan tersebut, kajian ini mengaplikasi pendekatan perspektif tersebut untuk menganalisis impak aktiviti sektor ekopelancongan di luar bandar terhadap pemerkasaan wanita, tahap pencapaian kearah kesaksamaan gender serta kesannya kepada pembangunan komuniti. Kajian ini dijalankan dalam dua buah kampung di Kota Belud iaitu Kampung Rampayan Laut dan Kampung Nanamun, iaitu dua buah kampung yang terlibat mengusahakan aktiviti-aktiviti berkaitan ekopelancongan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  17. Azlina Mohd Khir, Nobaya Ahmad, Muhd Dhamir Audi Azizul, Asnarulkhadi Abu Samah, Hanina Halimatusaadiah Hamsan
    MyJurnal
    Kajian ini dilakukan untuk menentukan hubungan antara sikap terhadap Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan perubahan kepada sosio-ekonomi dalam kalangan peserta PPP Orang Asli. Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk i) menghuraikan latar belakang responden; ii) mengenal pasti tahap sikap dan perubahan sosio-ekonomi; dan iii) menentukan hubungan antara sikap terhadap PPP dan perubahan kepada sosio-ekonomi. Kajian ini melibatkan 110 Orang Asli yang menyertai PPP di negeri Perak. Pemilihan responden adalah secara persampelan bertujuan. Data dikumpul menggunakan borang soal selidik melalui prosedur tadbir sendiri dengan pemantauan minima oleh penyelidik. Hasil kajian mendapati antara projek PPP yang dijalankan di negeri Perak adalah tanaman sayuran, limau kasturi dan pisang, serta ternakan kambing, lembu, ikan tilapia dan kelulut. Dapatan kajian menunjukkan adanya peningkatan pendapatan dalam kalangan responden walaupun majoriti daripada mereka memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM1000. Secara keseluruhannya, majoriti responden mempunyai sikap yang positif terhadap PPP, manakala perubahan kepada sosioekonomi berada pada tahap yang sederhana. Hasil kajian juga menunjukkan hubungan positif secara signifikan antara sikap terhadap PPP dengan dimensi perubahan sosio-ekonomi (r = .430 hingga r = .681; p
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  18. Mohamad Helmy, J., Normalina, A., Afzan, M.Y., Muhammad Lokman, M.I.
    Medicine & Health, 2020;15(1):119-128.
    MyJurnal
    Kajian ini menemui faktor-faktor cabaran kempen anti-merokok dari perspektif petugas kesihatan di Kuantan. Objektif kajian ini adalah untuk menerokai cabaran kempen anti-merokok daripada pandangan petugas kesihatan, kesedaran tentang kewujudan Klinik Berhenti Merokok dan cara untuk menambah baik kempen antimerokok. Kajian ini adalah penting untuk membantu pihak berkuasa Malaysia untuk membangunkan strategi yang lebih baik dalam mempromosikan kempen anti-merokok pada masa akan datang. Persampelan “purposive” digunakan dalam pengumpulan data dan wawancara separa berstruktur telah dilakukan di kalangan lima petugas kesihatan dari tiga Klinik Berhenti Merokok yang terpilih. Kajian ini mendapati petugas kesihatan berpendapat bahawa perokok yang menerima rawatan dari Pusat Kesihatan mempunya pemahaman yang rendah mengenai tatacara piawai (SOP) dalam pemberhentian merokok, komitmen yang rendah dan senang dipengaruhi oleh masyarakat. Petugas kesihatan juga berpendapat tugas pelbagai disiplin menyebabkan tumpuan yang rendah terhadap pesakit yang merokok. Di samping itu, responden merasakan bahawa kewujudan Klinik Berhenti Merokok perlu diperluaskan penghebahannya kepada komuniti. Melalui penemuan ini, beberapa strategi dicadangkan untuk menambah baik pendekatan semasa dalam pengurangan bilangan perokok di Malaysia seperti penambahbaikan penghebahan kepada orang ramai, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang serta menyediakan insentif.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  19. Mohd Hisham, I., Azlan Helmy, A.S., Ismail, M.S.
    Medicine & Health, 2020;15(1):250-265.
    MyJurnal
    Salah satu dari strategi untuk memperkasakan petugas kesihatan di dalam menentang kesan pandemik COVID-19 ini adalah melalui latihan yang berkesan. Keselamatan dan ketidak laziman merupakan dua perkara pokok yang menyebabkan modul ini dihasilkan. Modul latihan ini dibentuk berdasarkan tiga strategi utama iaitu belajar dari pengalaman lalu, mereka-bentuk modul latihan yang khusus, dan mengenal kelemahan yang ada. Modul yang dihasilkan ialah pemakaian-penanggalan alat perlindungan kendiri (PPE), pengurusan salur pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari bagi pesakit yang disyaki COVID-19. Seramai 178 Perawat Kesihatan Barisan Hadapan (PKBH) telah dilatih. Setiap modul disertakan dengan senarai-semak yang mana peserta merasakan ianya sangat membantu. Tiada peserta yang jatuh sakit atau mengalami simptom setelah lebih dua minggu tamat latihan dan ini berkemungkinan hasil dari pelaksanan senarai semak persediaan pra-latihan yang ketat. Senarai semak pra-latihan ini mempunyai tujuh perkara penting iaitu ruang latihan, bilangan peserta, saringan COVID-19, pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan, PPE, dan pensanitasi peralatan sebelum dan selepas latihan. Latihan menggunakan senarai semak yang terarah didapati sangat membantu para petugas di dalam menguruskan situasi COVID-19. Kesimpulannya semasa menghadapai keadaan yang di luar kelaziman serta masa dan sumber yang terhad, latihan praktikal bersama senarai semak merupakan satu kaedah yang dapat membantu. Mengikuti langkah keselamatan pra-latihan yang betul juga boleh mengurangkan penyebaran penyakit ini.

    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  20. Marcela Pimid, Abu Hassan Ahmad, Kumara Thevan Krishnan, Joanna Scian
    Trop Life Sci Res, 2019;30(2):1-14.
    MyJurnal
    Kerengga (Oecophylla smaragdina) adalah satu komuniti serangga yang penting di kanopi pokok. Walau bagaimanapun, kajian tentang aktiviti pencarian makanan kerengga adalah terhad. Oleh sebab itu, satu kajian lapangan dijalankan untuk mengkaji pemilihan makanan dan aktiviti pencarian makanan oleh semut ini dijalankan selama tiga hari. Pemilihan makanan oleh kerengga ini dikaji dengan menggunakan tiga jenis makanan (tuna, kulit ayam, dan susu tepung) yang mengandungi protein, lipid, dan karbohidrat. Aktiviti pencarian makanan dikaji berdasarkan dua parameter iaitu suhu persekitaran dan kelembapan relatif yang direkod sepanjang tempoh experimen. Keputusan experimen menunjukkan O. smaragdina lebih menggemari makanan berprotein berbanding makanan berlipid dan berkabohidrat, serta aktiviti pencarian makanan dipengaruhi oleh suhu persekitaran dan kelembapan relatif. Hasil kajian ini menunjukkan bagaimana kerengga bertindak balas terhadap tiga jenis makanan yang berbeza dan secara tidak langsung, menunjukkan aktiviti pencarian makanan yang strategik untuk memaksimumkan bekalan makanan kepada koloni mereka.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links