Displaying publications 21 - 40 of 82 in total

Abstract:
Sort:
  1. Megat Muhammad Asri Salleh, Normah Jusoh
    MyJurnal
    Kajian ini adalah bertujuan untuk meneliti hubungan antara pengambilan kafein dan tahap keagresifan dalam kalangan atlet Kor SUKSIS. Kajian ini berbentuk kaedah tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik berkaitan pengambilan kafein dan tahap keagresifan The Judgements About Moral Behavior in Youth Sport (JAMBYSQ). Peserta kajian terdiri daripada 80 orang atlet sukan berpasukan SUKSIS yang dipilih secara rawak. Data telah dianalisis menggunakan ujian statistik deskriptif, ujian t tidak bersandar dan korelasi Pearson. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan signifikan (p = 0.014) bagi tahap kekerapan pengambilan kafein antara atlet lelaki (2.00 ± 0.87) dan atlet perempuan (1.50 ± 0.76). Selain itu, bagi tahap keagresifan pula tidak terdapat perbezaan signifikan antara atlet lelaki (3.37 ± 0.60) dan atlet perempuan (3.23 ± 0.66) serta tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pengambilan kafein dengan tahap keagresifan semasa bersukan (r = 0.024, n = 80, p =0.831). Kesimpulannya, walaupun kekerapan pengambilan kafein berbeza mengikut jantina tetapi ia tidak mempengaruhi tahap keagresifan dalam kalangan atlet Kor SUKSIS. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengkaji dos kafein yang sesuai yang dapat mencetus tahap keagresifan dalam kalangan atlet
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  2. Mariam Ahmad Zawawi, Mohamed Kamel Abd Ghani, Gopal G, Hidayatulfathi Othman, Hartini Yusof, Norhisham Haron
    Sains Malaysiana, 2012;41:1095-1098.
    entamoeba histolytica dan/atau entamoeba dispar merupakan protozoa usus yang mempunyai prevalens infeksi yang tinggi dalam kalangan masyarakat pedalaman terutamanya masyarakat Orang Asli. Ia tersebar secara meluas di kawasan tropika dan subtropika serta di negara membangun berbanding negara maju. Sebanyak 111 sampel feses kanak-kanak Orang Asli daripada suku kaum Jahai telah diterima dan disaring untuk entamoeba histolytica dan/atau entamoeba dispar menggunakan kaedah apusan langsung yang memberi hasil positif terhadap 43 sampel atau 38.7%. Oleh sebab amaun sampel yang diterima adalah sedikit, hanya 66 sampel feses sahaja yang dapat diperiksa menggunakan tiga jenis teknik diagnostik berbeza iaitu apusan langsung, kepekatan formalin-eter dan pewarnaan trikrom. Hasil kajian mendapati, prevalens yang tinggi bagi infeksi entamoeba histolytica dan/atau entamoeba dispar iaitu 50% menggunakan
    ketiga-tiga teknik diagnosis. Prevalens infeksi yang tinggi juga turut ditunjukkan pada kanak-kanak perempuan iaitu 62.5% berbanding kanak-kanak lelaki 30.8% (p<0.05). Selain itu, daripada segi umur, kanak-kanak yang berumur 7-9 tahun adalah lebih terdedah kepada infeksi entamoeba histolytica dan/atau entamoeba dispar dengan prevalens 60.7% (p>0.05). Teknik pewarnaan trikrom menunjukkan pengesanan 100% ke atas infeksi entamoeba histolytica dan/atau entamoeba dispar, diikuti teknik kepekatan formalin-eter 78.8% dan apusan langsung 72.7%. Prevalens infeksi entamoeba histolytica dan/atau entamoeba dispar yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Sungai Rual ini berhubungkait dengan pelbagai faktor iaitu status sosioekonomi yang rendah, kekurangan pengetahuan tentang penjagaan kesihatan serta kebersihan diri yang rendah. Peningkatan prevalens infeksi dalam kajian ini juga menunjukkan pentingnya penggunaan teknik diagnostik yang lebih berkesan dalam pemeriksaan rutin bagi mendapatkan hasil diagnosis yang lebih tepat.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  3. Noor Alaudin Abdul Wahab, Norashikin Chahed
    MyJurnal
    Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan data normatif timpanometri di kalangan kanak-kanak Melayu prasekolah dan membandingkannya menurut jantina. Ini kerana faktor bukan patologi seperti umur, jantina dan bangsa mempengaruhi data normatif timpanometri. Sehubungan itu, garis panduan saringan telinga tengah oleh American Speech and Hearing Association (ASHA) yang menggunakan data normatif timpanometri kanak-kanak Kaukasian mungkin tidak sesuai untuk populasi kanak-kanak Melayu. Parameter timpanometri yang diukur ialah puncak statik admitan akustik dikompensasi (puncak Ytm), isipadu salur telinga luar (Vea) dan kelebaran timpanogram (TW). Seramai 161 orang kanak-kanak Melayu (80 orang kanak-kanak lelaki dan 81 orang kanak-kanak perempuan) berumur antara 4 hingga 6 tahun terlibat di dalam kajian ini. Bagaimanapun, hanya seramai 45 orang kanak-kanak lelaki dan 46 orang kanak-kanak perempuan (163 dari keseluruhan 182 telinga) memenuhi kriteria inklusi iaitu lulus pemeriksaan otoskopi dan saringan pendengaran serta menunjukkan refleks akustik ipsilateral pada 1000 Hz. Ujian ANOVA Campuran dua-hala untuk membandingkan min parameter timpanometri kanak-kanak lelaki dan perempuan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan; min puncak Ytm (p > 0.05), min Vea (p > 0.05), dan min TW (p > 0.05). Oleh itu, data kedua-dua kumpulan ini digabungkan. Secara keseluruhan, nilai min puncak Ytm ialah 0.55 ± 0.28mmhos, min Vea ialah 0.90 ± 0.39 cm3, dan min TW ialah 104.68 ± 32.08 daPa. Julat normal persentil ke-90 bagi puncak Ytm ialah antara 0.27 hingga 1.18 mmhos, Vea antara 0.45 hingga 1.65 cm3 dan TW antara 59.60 hingga 149.80 daPa. Hasil kajian mencadangkan data normatif timpanometri ini sesuai digunakan ke atas kanak-kanak Melayu prasekolah namun ianya tidak perlu dibezakan mengikut jantina. Sekiranya setiap satu nilai TW > 200 daPa dan Vea > 1.0 cm3 oleh ASHA diaplikasi ke atas kanak-kanak Melayu prasekolah, maka masing-masing akan menyebabkan kadar rujukan yang rendah dan kadar rujukan yang berlebihan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  4. Razalee Sedek, Nor Farhana Mohd Samwil
    MyJurnal
    Pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan oleh kerajaan untuk meningkatkan penerimaan orang ramai terhadap pengambilan ikan air tawar sebagai menu harian. Objektif kajian ini adalah untuk menilai penerimaan terhadap sajian ikan air tawar serta menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilannya dalam kalangan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seramai 232 pelajar dipilih secara rawak daripada pelbagai fakulti di UKM (kampus Bangi). Di samping pelajar, pengendali makanan di kafeteria UKM turut terlibat dalam kajian ini. Soal selidik digunakan bagi menentukan tahap kefahaman dan penerimaan pelajar terhadap ikan air tawar, kekerapan pengambilan sajian ikan air tawar serta faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilannya. Kebolehdapatan dan kepelbagaian menu sajian ikan air tawar dikenal pasti melalui tinjauan di kafeteria UKM terpilih. Majoriti responden (95.7%) mengetahui ikan air tawar secara umum tetapi hanya 55.6% responden yang mengetahui jenis atau spesies ikan air tawar. Kebanyakan responden (63.3%) memilih ikan air tawar sebagai sajian. Ujian Khi Kuasa Dua menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan antara agama dan bangsa dengan pemilihan ikan air tawar sebagai sajian (p < 0.05). Ikan Keli merupakan ikan yang paling digemari oleh sejumlah 51.9% responden. Sajian yang paling digemari oleh majoriti responden (36.2%) ialah sajian ikan goreng. Bagi kebanyakan responden (43.2%), sajian ikan air tawar diambil atas faktor rasanya yang sedap. Kebanyakan kafeteria di UKM yang dikaji menjual sajian ikan air tawar dan hal ini didorong terutamanya oleh faktor mempelbagaikan menu di kafeteria mereka. Sejumlah 69.2% kafeteria melaporkan bahawa pelajar dapat menerima dengan baik sajian ikan air tawar yang disediakan tetapi hanya bagi jenis sajian ikan air tawar terpilih. Hasil kajian ini dapat memberi maklumat kepada kerajaan berkenaan penerimaan dan kesedaran pelajar universiti terhadapikan air tawar serta membantu pihak-pihak tertentu khususnya pengendali makanan di kafeteria UKM dalam menyediakan sajian ikan air tawar yang bersesuaian dengan kegemaran pelajar.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  5. Rabeta Mohd Salleh, Suzana Shahar, Fatimah Arshad, Ahmad Rohi Ghazali, Normah Haron, Nor Fadilah Rajab
    MyJurnal
    Kajian kes-kawalan ini dijalankan untuk mengkaji hubungan adipositi dan komposisi tubuh terhadap risiko kanser payudara di kalangan 70 orang wanita yang baru didiagnos kanser payudara dan 138 orang kawalan. Parameter antropometri yang merangkumi tinggi, berat, ukuran pinggang dan ukuran pinggul dan aras glukosa darah berpuasa serta tekanan darah diukur di kalangan subjek. Komposisi tubuh ditentukan menggunakan analisis bioimpedans (Maltron 906). Hasil kajian menunjukkan Indeks Jisim Tubuh (?T) kumpulan kes adalah 26.0 ± 4.8 kg/m2 dan 25.3 ± 4.5 kg/m2 bagi kumpulan kawalan (p > 0.05). Seramai 71% subjek dari kumpulan kes dan 40% subjek kumpulan kawalan mengalami obesiti abdominal (ukurlilit pinggang 80 cm) [OR = 3.4 (95% CI =1.7-6.9] (p < 0.05). Wanita pra menopaus berisiko sebanyak empat kali untuk mendapat kanser payudara dengan [Adjusted OR = 4.3 (95% CI = 1.8-10.3)]. Peratus lemak tubuh adalah tinggi di kalangan kes (36.4 ± 4.7%) berbanding kawalan 35.3 ± 4.4% tetapi perbezaan ini adalah tidak signifikan. Jisim Tubuh Tanpa Lemak ?TTL) menunjukkan nilai min 38.8 ± 5.7 kg bagi kawalan dan 38.9 ± 5.5 kg pada kes. Korelasi positif yang lemah ditunjukkan di antara umur dan IJT (r = 0.179, p = 0.010), ukuran pinggang (r = 0.218, p = 0.002), nisbah pinggang-pinggul (NPR) (r = 0.233, p = 0.001) dan peratus lemak tubuh (r = 0.330, p = 0.000). Kesimpulannya, obesiti abdominal meningkatkan risiko kanser payudara, terutama di kalangan wanita pra menopaus. Obesiti jenis ini dan peratus lemak tubuh adalah meningkat dengan pertambahan usia. Adalah penting bagi wanita untuk mengekalkan ukuran pinggang yang sihat melalui gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko kanser payudara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  6. Mohd. Suhaimi Ahmad, Muhammad Ridwan Fahmi, Mustaqqim Abdul Rahim, Naimah Ibrahim
    Sains Malaysiana, 2016;45:1857-1867.
    Suatu kajian untuk menilai kesan gabungan aktiviti guna tanah dan perubahan musim terhadap kualiti sumber air telah dijalankan di Terusan Utara, Kedah. Kajian ini dijalankan di lima stesen terpilih selama 12 bulan berdasarkan Indeks Kualiti Air (WQI) dan Piawaian Interim Kualiti Air Kebangsaan (INWQS). Kajian mendapati kualiti air di Terusan Utara berada pada Kelas III dan berlaku peningkatan kualiti air dari hulu ke hilir. Hampir semua stesen berpotensi sebagai punca pencemaran berdasarkan aktiviti guna tanah terutamanya di Pelubang, Jitra serta Tunjang. Kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan ketika perubahan musim pada DO, TSS serta BOD, namun tidak pada ammonia, pH dan COD. Secara amnya, kombinasi aktiviti guna tanah dan perubahan musim boleh mempengaruhi atau memberi kesan terhadap kualiti sumber air. Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan untuk mengawal punca pencemaran bagi memastikan kualiti sumber air di Terusan Utara kekal terpelihara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  7. Leow KT, Aminah Abdullah, Mushrifah Idris
    Anggaran kuantiti dan pencirian fizikokimia sisa buangan makanan adalah pra-keperluan untuk mengoptimumkan proses pengkomposan. Satu tinjauan untuk menganggar jumlah sisa buangan makanan yang dijana oleh sektor komersial (n=10) dan isi rumah (n=50) di Bandar Baru Bangi telah dilakukan. Kehadiran komponen sisa nasi, sisa berasaskan daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan dan sisa buangan makanan basah yang lain juga diperiksa. Ciri fizikokimia sisa buangan makanan juga dianalisis. Jumlah sisa buangan makanan yang dijana di Bandar Baru Bangi dianggarkan sebanyak 11.41 MT sehari. Sektor isi rumah menyumbang 67.3% manakala sektor komersial menyumbang 32.7% daripada jumlah sisa buangan makanan yang dihasilkan. Kekerapan sisa buangan makanan berkeadaan basah adalah lebih tinggi (p<0.05) di sektor komersial berbanding sektor isi rumah. Sisa nasi merupakan komponen sisa buangan makanan yang paling kerap dijana oleh sektor isi rumah dan sektor komersial. Penilaian ciri fizikokimia menunjukkan nilai pH, kandungan abu, bahan organik, karbon organik, nitrogen dan lemak serta nisbah C/N adalah berbeza (p<0.05) antara sisa buangan makanan yang dijana pada hari yang berlainan. Sisa buangan makanan bersifat asid (pH 4.82-5.17) mempunyai kandungan air (65.9-69.5%) dan lemak yang tinggi (13.1-20.2%) tetapi kandungan nitrogen yang rendah (0.63-0.85%). Walau bagaimanapun, nisbah C/N masih berada dalam julat (20-25) yang sesuai untuk pengkomposan yang berkesan. Oleh yang demikian, dengan memperkenalkan proses pengkomposan, sisa buangan makanan berkenaan berpotensi digunakan sebagai kompos.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  8. Nurul Izzah Ab Rahman, Musa Ahmad
    Sains Malaysiana, 2006;35:7-10.
    Kajian pemegunan enzim peroksidase dalam membran hibrid sol-gel-kitosan untuk penyediaan transduser optik hidrogen peroksida telah dilakukan dalam pembinaan biosensor. Kajian ini merangkumi pengoptimuman nisbah sol-gel-kitosan, pencirian enzim dalam larutan bebas dan pemegunan enzim dalam hibrid sol-gel-kitosan serta penciriannya. Spektrum serapan bagi setiap pencirian ditentukan menggunakan Spektrofotometer uL-Nampak. Hasil kajian menunjukkan aktiviti enzim tidak berubah selepas pemegunan. Nisbah optimum hibrid sol-gel-kitosan adalah 4:6. Nilai sisihan piawai relatif (RSD) untuk kebolehulangan kaedah ini adalah 2.71% dan 3.76%, masing-masingnya untuk enzim bebas dan enzim terpegun.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  9. Nur Azlina Mohd. Fahami, Muharani Tajudin
    Kajian ini telah dijalankan untuk menentukan kesan suplimentasi tokotrienol (TT) dan tokoferol (TF) ke atas status oksidatif dan aktiviti enzim antioksidan pada hepar tikus dalam keadaan stres. Sebanyak 24 ekor tikus Sprague-Dawley jantan telah dibahagikan secara rawak kepada empat kumpulan. Dua kumpulan kawalan, kumpulan stres (CS) dan kumpulan tanpa stres (C) serta dua kumpulan rawatan yang diberikan tokotrienol (TTS) atau tokoferol (TFS) secara oral paksaan pada dos 60 mg/kg berat badan selama 28 hari dan didedahkan kepada stres. Setelah tamat tempoh rawatan, tikus-tikus daripada kumpulan CS, TTS dan TFS telah didedahkan kepada stres restain selama dua jam sehari untuk empat hari berturut-turut. Kemudian, darah tikus diambil untuk menentukan aktiviti enzim antioksidan iaitu superoksid dismutas (SOD) dan glutation peroksidase (GPx) manakala hepar diambil untuk menentukan kandungan malondialdehid (MDA) dan tahap glutation. Hasil kajian mendapati kandungan MDA meningkat dan glutation menurun secara signifikan pada tisu hepar pada kumpulan CS setelah diaruh stres, berbanding kumpulan tanpa stres. Walau bagaimanapun, tikus yang diberi suplimentasi tokotrienol dan tokoferol menunjukkan penurunan signifikan kandungan MDA dan peningkatan glutation berbanding kumpulan kawalan. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa tokotrienol dan tokoferol mampu menghalang tekanan oksidatif pada hepar akibat stres. Hasil daripada kajian ini juga menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam aktiviti GPx plasma tikus pada kumpulan CS. Kumpulan tikus yang disuplimentasikan dengan tokotrienol menunjukkan penurunan yang signifikan dalam aktiviti GPx berbanding kumpulan CS. Sebagai kesimpulan, tokotrienol dan tokoferol berkesan dalam mengurangkan status oksidatif pada hepar tikus dan ini dapat diperhatikan dengan peningkatan glutation hepar dan penurunan aktiviti GPx plasma tikus yang teraruh stres.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  10. Mohamad Helmy, J., Normalina, A., Afzan, M.Y., Muhammad Lokman, M.I.
    Medicine & Health, 2020;15(1):119-128.
    MyJurnal
    Kajian ini menemui faktor-faktor cabaran kempen anti-merokok dari perspektif petugas kesihatan di Kuantan. Objektif kajian ini adalah untuk menerokai cabaran kempen anti-merokok daripada pandangan petugas kesihatan, kesedaran tentang kewujudan Klinik Berhenti Merokok dan cara untuk menambah baik kempen antimerokok. Kajian ini adalah penting untuk membantu pihak berkuasa Malaysia untuk membangunkan strategi yang lebih baik dalam mempromosikan kempen anti-merokok pada masa akan datang. Persampelan “purposive” digunakan dalam pengumpulan data dan wawancara separa berstruktur telah dilakukan di kalangan lima petugas kesihatan dari tiga Klinik Berhenti Merokok yang terpilih. Kajian ini mendapati petugas kesihatan berpendapat bahawa perokok yang menerima rawatan dari Pusat Kesihatan mempunya pemahaman yang rendah mengenai tatacara piawai (SOP) dalam pemberhentian merokok, komitmen yang rendah dan senang dipengaruhi oleh masyarakat. Petugas kesihatan juga berpendapat tugas pelbagai disiplin menyebabkan tumpuan yang rendah terhadap pesakit yang merokok. Di samping itu, responden merasakan bahawa kewujudan Klinik Berhenti Merokok perlu diperluaskan penghebahannya kepada komuniti. Melalui penemuan ini, beberapa strategi dicadangkan untuk menambah baik pendekatan semasa dalam pengurangan bilangan perokok di Malaysia seperti penambahbaikan penghebahan kepada orang ramai, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang serta menyediakan insentif.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  11. Anis Farhana Mohd Kassim, Azlina Mohd Khir, Mohd Ziyad Afiq Zaharim
    MyJurnal
    Kajian ini dilakukan untuk menentukan hubungan antara motivasi membaca, persekitaran membaca di rumah dan sikap membaca dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia. Seramai 214 pelajar UPM yang dipilih melalui kaedah persampelan pelbagai peringkat terlibat dalam kajian ini. Satu set borang soal selidik yang diedar kepada responden mengandungi tiga instrumen iaitu Survey of Adolescent Reading Attitudes, Motivations for Reading Questionnaire (MRQ) dan Students’s Reading Environments at Home: Exposure and Support. Hasil kajian menunjukkan sikap membaca bahan bacaan digital dan bercetak pelajar UPM berada pada tahap tinggi. Selain itu, kajian mendapati motivasi membaca intrinsik dan ekstrinsik serta persekitaran membaca di rumah pelajar UPM berada pada tahap sederhana. Keputusan menunjukkan terdapat hubungan positif secara signifikan antara motivasi membaca intrinsik, motivasi ekstrinsik dan persekitaran membaca di rumah dengan sikap membaca bahan bacaan digital dan bercetak. Kesimpulannya, motivasi membaca dan persekitaran membaca di rumah mempunyai hubungan signifikan dengan sikap membaca dalam kalangan pelajar UPM. Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sikap membaca yang positif, pihak yang bertanggungjawab seperti ibu bapa terutamanya perlu mewujudkan persekitaran membaca yang kondusif di rumah agar dapat memupuk motivasi membaca dan sikap yang positif dalam kalangan anak-anak. Selain itu, pihak univerisiti dan pensyarah juga perlu mengambil langkah yang proaktif dalam mempromosi dan menggalakkan amalan membaca agar ia terus menjadi satu budaya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  12. Masni Mohd Ali, Norfariza Humrawali, Mohd Talib Latif
    Kajian ini adalah mengenai peranan sterol sebagai penunjuk bio-lipid untuk mengenal pasti variasi dan sumber bahan organik yang hadir bersama sedimen permukaan dari Kuala Selangor, Selangor. Kajian melibatkan kaedah pengekstrakan sterol daripada sampel sedimen dan seterusnya dianalisis menggunakan GC-MS untuk menentukan kehadiran sebatian tersebut. Sepuluh sebatian sterol dikenal pasti hadir dengan fitosterol merupakan sebatian dominan di kawasan kajian iaitu 79% daripada jumlah keseluruhan sterol. Ini diikuti oleh kolesterol serta sterol kumbahan masing-masing menyumbangkan 6% daripada jumlah keseluruhan sterol manakala selebihnya berada dalam julat 1-5%. Indeks Sumber Sterol (SSI) juga menunjukkan kandungan fitosterol yang tinggi walaupun hadir pada kadar yang berbeza di setiap stesen pensampelan. Penilaian pencemaran kumbahan menggunakan nisbah koprostanol/kolesterol, koprostanol/(koprostanol+kholestanol) serta epikoprostanol/koprostanol menunjukkan kawasan kajian tidak mengalami pencemaran kumbahan walaupun sterol daripada sumber kumbahan hadir di persekitarannya. Kesimpulannya sedimen permukaan di Kuala Selangor, Selangor mengandungi campuran sterol daripada pelbagai sumber yang hadir di persekitarannya dengan didominasi oleh fitosterol yang berasal daripada tumbuhan terestrial.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  13. Desa A, Yusooff F, Zainah AZ, Nor Ba’yah AK, Mohd Norahim MS
    Jurnal Psikologi Malaysia, 2015;olume 29:32-42.
    Kemahiran keibubapaan, kefungsian keluarga dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan ibubapa adalah tiga aspek yang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga. Kajian dalam kalangan 187 orang ibu dan bapa ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap kemahiran keibubapaan dan kefungsian keluarga serta hubungan antara kedua pemboleh ubah ini. Selain daripada itu hubungan antara kefungsian keluarga dengan kesejahteraan psikologi juga dikaji. Perbezaan antara jantina bagi ketiga-tiga pemboleh ubah tersebut juga dikaji. Dapatan menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran keibubapaan dengan kefungsian keluarga, serta kefungsian keluarga dengan kesejahteraan psikologi. Manakala ujian t pula menunjukkan terdapat perbezaan kemahiran keibubapaan antara lelaki dengan wanita, tetapi tidak terdapat perbezaan dari aspek kefungsian keluarga dan kesejahteraan psikologi. Implikasi kajian ini menunjukkan kepentingan kemahiran keibubapaan dan kefungsian keluarga dalam mencapai kesejahteraan psikologi.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  14. Nur Asmadayana Hasim, Muhammad Adib Samsudin, Mohammad Zaini Yahaya, Latifah Amin, Rizafizah Othaman, Rozida Khalid, et al.
    Sains Malaysiana, 2018;47:1227-1234.
    Islam merupakan satu agama yang menitikberatkan kesihatan manusia termasuklah sistem pencernaan manusia. Najis
    (tinja) manusia yang dibincangkan dalam kajian ini merupakan hasil buangan manusia yang menjadi salah satu kaedah
    untuk melihat sudut kesihatan manusia. Objektif penyelidikan ini ialah untuk mengkaji fizikokimia dan ciri-ciri najis
    serta kegunaannya daripada perspektif sains dan sudut pandangan Islam terutamanya mengenai diet yang diamalkan
    oleh Rasulullah SAW. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan ulasan literatur secara deskriptif. Kajian mendapati
    bahawa sistem pencernaan merupakan satu sistem yang rumit. Tinja terdiri daripada 75% air dan 25% bahan pepejal
    serta ciri-ciri tinja seperti bentuk, warna dan bau memberi kesan kepada kesihatan manusia. Daripada sudut Islam
    warna, bau dan rasa tinja merupakan perkara asas yang dititikberatkan semasa proses pembersihan najis terutamanya
    bagi memulakan sesuatu ibadah. Selain itu, diet, senaman, umur dan jantina merupakan faktor-faktor yang membezakan
    jenis tinja bagi setiap individu. Malah, kajian ini juga merungkai beberapa alternatif yang kini diguna pakai bagi
    mengurus najis-najis manusia dalam menjamin kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar. Kajian ini kemudiannya
    mengupas diet makanan-makanan sunnah yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadis yang terbukti kaya dengan serat
    dan sihat untuk manusia terutamanya bagi sistem pencernaan manusia. Oleh itu, najis (tinja) manusia daripada sudut
    sains mampu menggambarkan kesihatan seseorang dan amalan diet makanan-makanan sunnah sangat baik dalam
    memelihara sistem pencernaan manusia.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  15. Naufal, N., Narayanasamy S., Ahmad, M., Hairol, M.I., Sharanjeet K., Kadar, M., et al.
    Medicine & Health, 2020;15(1):225-236.
    MyJurnal
    Penilaian status visual kanak-kanak prasekolah adalah penting kerana ia adalah salah satu faktor yang menentukan ketersediaan mereka untuk bersekolah. Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak prasekolah mendapat peluang untuk mengikuti program saringan penglihatan. Dalam kajian ini, akuiti visual jauh dan dekat serta tahap stereoakuiti diukur di kalangan kanak-kanak berumur enam tahun (n=385). Parameter tersebut kemudiannya dibandingkan di antara kanak-kanak prasekolah swasta bandar dan prasekolah KEMAS daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar. Tujuh peratus kanak-kanak prasekolah KEMAS adalah gagal dalam ujian saringan penglihatan jauh berbanding dengan 6% kanak-kanak prasekolah swasta. Untuk ujian penglihatan dekat, kadar kegagalan adalah masing-masing 8.7% dan 4.9% bagi kanak-kanak prasekolah swasta dan KEMAS masing-masing. Untuk ujian stereoakuiti, seramai 3.3% kanak-kanak prasekolah swasta dan 2.5% kanak-kanak prasekolah KEMAS dikategorikan sebagai lemah stereopsis. Semua perbezaan tersebut adalah tidak signifikan secara statistik (semua p>0.05). Peratusan kanak-kanak yang gagal ujian saringan penglihatan adalah serupa untuk kedua-dua jenis prasekolah. Oleh itu, program saringan penglihatan perlu dijalankan di semua jenis prasekolah untuk memastikan sebarang masalah penglihatan dapat dikesan, didiagnos, dirawat dan dicegah.


    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  16. Aminuddin Ruskam, Ahmad Syukran Baharuddin, Rashidah Othman, Mohd Ariff Abdul Sarip, Mohammad Amir Wan Harun
    MyJurnal
    Bawang merah merupakan tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat dan telah dijadikan sebagai makanan dan
    ubatan sejak dahulu lagi oleh pelbagai kaum dan bangsa. Kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti khasiat bawang
    merah terhadap tubuh manusia dari perspektif sarjana-sarjana perubatan Islam dan kajian-kajian saintifi k. Data-data
    literatur telah dikumpulkan dari empat buah buku perubatan Islam dan 14 artikel daripada pelbagai jurnal berkaitan.
    Data terkumpul dianalisis menggunakan Nvivo10.0 bagi membentuk kategori bersesuaian seterusnya menghasilkan
    dapatan kajian. Hasil kajian menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 17 khasiat bawang merah yang merangkumi
    enam khasiat dari perspektif sarjana perubatan Islam seperti merawat penyakit mata sentiasa berair, merawat masalah
    dalam telinga, merawat jangkitan dari gigitan anjing, meneutralkan racun, merangsang syahwat dan merawat penyakit
    akibat air tercemar. Manakala 11 manfaat lagi dikenal pasti daripada kajian-kajian saintifi k seperti ia merupakan agen
    antiplatelet, agen anti-pembentukan lemak, agen antioksidan, agen antitrombotik, agen antikarsinogen, agen antidepresen/
    antimurung, agen antiinfl amasi, agen antiasma, agen antibiotik, menurunkan tahap hiperglisemia dan mengurangkan
    risiko penyakit aterosklerosis. Justeru kajian ini mencadangkan agar bawang merah diketengahkan sebagai salah satu
    rawatan organik serta alternatif kepada rawatan konvensional sedia ada.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  17. Hartini Yusof, Mohamed Kamel Abd Ghani
    MyJurnal
    Infeksi Entamoeba histolytica adalah tersebar di seluruh dunia dengan prevalens infeksi yang lebih tinggi di kalangan masyarakat terpinggir termasuk Orang Asli yang tinggal di kawasan tropika dan subtropika. Seramai 71 orang kanak-kanak Orang Asli dari Pos Lenjang, Pahang telah terlibat di dalam kajian ini. Bagi kajian yang lebih terperinci, kumpulan kanak-kanak ini telah dibahagikan menurut jantina dan umur. Sampel feses dikumpul dan setiap sampel diperiksa bagi pengenalpastian Entamoeba histolytica dengan menggunakan 3 jenis teknik diagnostik yang berbeza iaitu teknik apusan langsung, konsentrasi formalin-eter dan perwarnaan trikrom. Prevalens infeksi protozoa usus Entamoeba histolytica di kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang, Pahang adalah tinggi iaitu 22.5%. Dari segi jantina, prevalens infeksi lebih tinggi di kalangan kanak-kanak perempuan (32.5%) berbanding kanak-kanak lelaki (9.7%). Infeksi juga didapati lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang bersekolah (32.4%) berbanding kanak-kanak prasekolah (11.8%). Prevalens infeksi Entamoeba histolytica yang tinggi di kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang, Pahang adalah berhubung kait dengan pelbagai faktor termasuk status sosioekonomi yang rendah, budaya, kekurangan kemudahan asas dan tahap pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan serta kebersihan diri yang rendah.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  18. Ahmad Shah Pakeer Mohamed, Nazariah Osman, Mohamad Faisol Keling
    MyJurnal
    Kerajaan Malaysia telah memberikan penumpuan terhadap aspek keselamatan dan pembangunan
    pertahanan sejak dari kemerdekaan negara lagi. Pada ketika ini, ancaman yang dihadapi oleh negara
    adalah melibatkan dua bentuk ancaman iaitu ancaman dari dalam negara dan ancaman dari luar negara.
    Kebanyakkan negara khususnya di rantau Asia Tenggara telah mencapai kemerdekaan di antara tahun
    1950-an dan 1960-an. Sebagai sebuah negara yang juga boleh dikategorikan juga baru mencapai
    kemerdekaan, negara-negara di rantau Asia Tenggara ini tidak lari dari menghadapi pelbagai ancaman
    yakni ancaman dari sudut dalaman negara seperti ancaman pemberontakan komunis semasa insurgensi,
    konflik etnik, ketidakstabilan politik, rusuhan kaum, masalah perpaduan dan sebagainya telah menjadi
    faktor yang juga telah mempengaruhi perbentukan Dasar Pertahanan Negara (DPN). Manakala
    ancaman dari sudut luar seperti persempadan, persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan
    Kesatuan Soviet semasa perang dingin yang juga menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik,
    konflik dan peperangan di rantau Asia Tenggara, persaingan ideologi, ketegangan hubungan dan
    konflik hubungan antara negara, ancaman terrorisme dan pemberontakan serta sebagainya telah
    mempengaruhi dan memaksa negara Malaysia untuk membangun serta memodenkan sistem pertahanan
    negara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  19. Shahrul Izwan B. Armad, Shahidan B. Radiman, Md. Soot B. Ahmad
    Sains Malaysiana, 2014;43:1751-1759.
    Kesan penggunaan kitosan terhadap nanozarah kuprum (Cu) yang disintesis menggunakan sinaran gama sebagai sumber agen penurunan telah dijalankan dalam sistem akues. Dos sinaran terserap yang digunakan adalah 50 kGy manakala penambahan isopropanol adalah penting sebagai penggarut kepada radikal pengoksidaan serta meningkatkan peranan agen penurun yang terhasil daripada proses radiolisis. Analisis serapan optik-uv telah mencirikan sifat optik larutan nanozarah Cu yang disintesis. Ketulenan fasa kristal nanozarah Cu yang terbentuk dalam matrix kitosan telah dibuktikan dengan pembelauan sinar-X (xRD). Berdasarkan imej mikroskop imbasan elektron (TEM), nanozarah Cu yang terhasil adalah berbentuk sfera dengan julat saiz 6-10 nm kecuali nanozarah Cu yang disintesis dalam kepekatan kitosan 03% wlv yang menunjukkan taburan bentuk yang tidak sekata. Analisis spektrofotometer transformasi Fourier inframerah (FHR) yang dijalankan telah mengesahkan kehadiran sebatian kitosan dalam sampel nanozarah Cu dengan kepekatan kitosan 0.1 dan 0.3% wlv. Kajian ini mendapati penggunaan kitosan dapat melindungi nanozarah Cu daripada pengoksidaan oleh persekitaran. Saiz nanozarah juga didapati meningkat seiring dengan peningkatan kepekatan kitosan yang digunakan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  20. Muhammad Barzani Gasim, Salmijah Surif, Sahibin Abd. Rahim, Chong HB, Mohd. Ekhwan Toriman, Mazlin Mokhtar
    Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca berlakunya banjir di Segamat pada 17 hingga 21 Disember 2006. Kegiatan termasuklah mengumpul, menilai dan mengalisis data taburan hujan dari Januari 1998 hingga Disember 2006 serta menganalisis data telemetri harian bagi aras dan luahan air sungai pada Disember 2006. Satu set data hujan harian, bulanan dan tahunan dari Stesen Felda Medoi, Segamat telah dianalisis dan dihubungkait dengan data telemetri. Data taburan hujan selama 8 tahun tersebut menunjukkan kawasan Bandar Segamat menerima hujan bulanan yang berjulat daripada 2.5 mm (Februari 2004) sehingga 536.8 mm (Januari 2003). Taburan hujan bulanan Oktober sehingga Disember 2006 menunjukkan kenaikan secara positif, iaitu daripada 118 mm sehingga 435 mm/bulan tetapi berlaku penurunan (392 mm) pada Januari 2007. Hasil kajian menunjukkan bahawa hujan lebat yang luar biasa dan keadaan bentuk topografi yang rendah dan beralun di kawasan kajian adalah penyebab utama banjir di Segamat.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links